Pekilang Bimbang P.Pinang Gagal Tangani Banjir, Gesa Putrajaya Bertindak Segera

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan persekutuan dan negeri supaya mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengkaji, menangani dan melaksanakan langkah bersesuaian dan pencegahan bagi meningkatkan program mitigasi banjir dan bencana di negara ini.

Dalam kenyataannya, FMM menyarankan agar dilaksanakan prosedur operasi standard (SOP) terhadap program berkenaan.

“Bencana banjir menyebabkan kerosakan teruk dan kesukaran kepada rakyat serta perniagaan di utara tanah air khususnya di Pulau Pinang, dan ia menyedarkan pihak berkuasa persekutuan dan negeri agar memberi penekanan dan menambah peruntukan ke arah meningkatkan program mitigasi banjir dan bencana di negara ini.

“Walaupun FMM memuji kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri bagi membantu rakyat di Pulau Pinang, kita juga melahirkan kebimbangan dengan laporan media, termasuk berita kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai tenaga kerja dan peralatan mencukupi untuk menangani banjir.

“Mengenal pasti kekangan ini adalah langkah pertama ke arah meningkatkan sistem mitigasi banjir dan bencana negara pada masa ini, termasuk penambahbaikan kepada Jabatan Meteorologi Malaysia untuk pemantauan dan sistem amaran awal yang lebih berkesan,” katanya.

FMM berkata memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia sudah mengeluarkan makluman mengenai cuaca sejak 1 Nov, 2017, tindakan susulan terhadap perkara itu adalah tidak mencukupi.

“Makluman itu sepatutnya mencetuskan tindakan susulan yang perlu, terutama menubuhkan pusat bantuan dan membuat pemindahan awal bagi kawasan berisiko tinggi.

“Justeru, kita sangat bimbang mengenai penyelarasan dan menggerakkan sumber dengan berkesan,” kata FMM.

Kenyataan itu berkata pelaburan yang lebih besar dalam program mitigasi banjir dan bencana perlu disediakan seiring dengan pembangunan dilakukan, terutama dalam memastikan sistem perparitan dan penyelenggaraan yang baik dan berkesan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.