FAM Ada Kes Untuk Hukum Safiq

KUALA LUMPUR- Walaupun wisel penamat sudah ditiupkan, pemain tetap tidak terlepas daripada dikenakan hukuman seandainya melakukan kesalahan dalam kawasan permainan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah berkata, dalam kes melibatkan Safiq Rahim yang mengeluarkan kata-kata kesat di Stadium Shah Alam sejurus tamat final Piala Malaysia, Sabtu lalu, dia boleh dibicara dan FAM mempunyai kes untuk menjatuhkan hukuman.

“Perlu diingat, sebelum, semasa dan selepas perlawanan ada akta yang membolehkan FAM mengambil tindakan kepada mana-mana pemain yang melanggar peraturan sebagai contoh pemain bergaduh di bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

“Bagi kes Safiq, kita perlu melihat di mana dan bila kejadian itu berlaku. Memang benar, perlawanan tersebut sudah tamat namun itu tidak bermakna pemain boleh bertindak sesuka hati.

“Perlawanan sudah habis namun majlis belum habis dan itu bermakna akan ada hukuman yang boleh dikenakan dan perbuatannya boleh dibicarakan,” katanya lapor Utusan.

Safiq melemparkan kata-kata kesat kepada pengkritiknya sejurus tamat perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalahkan Kedah 2-0.

Perbuatan kapten JDT dan Harimau Malaya itu berjaya dirakam sebelum menjadi tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi negatif netizen.

Dalam video yang berdurasi hampir seminit itu, Safiq dilihat seperti melepaskan geram kepada pengkritik bola sepak yang dianggap membenci JDT apabila secara tiba-tiba menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat:…all the haters ******!Gua champion sekarang…*****. Lepas ini kau tengok lah!”

Tambah Kamarudin, sebagai pemain bola sepak profesional perkara itu tidak sepatutnya dilakukan oleh Safiq yang juga merupakan kapten Harimau Malaya namun nasi sudah menjadi bubur.

“Safiq mungkin boleh didenda. Gantung perlawanan saya fikir mungkin tiada. Tengok kepada kesalahan, jika kata-katanya itu terlalu agresif. Tidak patut untuk dia berkata sebegitu namun mungkin tindakan spontan Safiq atau mungkin dendam yang sudah lama terbuku di hatinya. Kita tidak tahu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.