Bayaran Tunai Haji Tahun 2018 Kekal RM9,980 – TH

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengekalkan bayaran sebanyak RM9,980 bagi jemaah haji muassasah kali pertama untuk tahun depan meskipun kos sebenar meningkat 15 peratus daripada RM19,550 (2017) kepada RM22,450.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, kos tersebut telah dikekalkan sejak 2009 atas inisiatif kerajaan yang prihatin terhadap rakyat untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Katanya, Tabung Haji dijangka menanggung subsidi haji hampir RM400 juta dan menganggapnya sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbesar lembaga itu bagi mendukung aspirasi kerajaan untuk mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi.

‘‘Menjadi hasrat kerajaan agar lebih ramai umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadah haji de­ngan kos yang tidak membebankan.

‘‘Subsidi haji yang akan diberikan kepada seorang jemaah haji muassasah kali pertama ialah sebanyak RM12,470 iaitu 56 peratus daripada kos haji, manakala jemaah haji hanya perlu membayar seba­nyak RM9,980 iaitu 44 peratus daripada kos haji,’’ katanya dalam satu kenya­­taan di sini, hari ini.

Menurut Johan lagi, bayaran haji itu merupakan kos yang paling rendah di Asia Tenggara dengan kemudahan perkhidmatan yang di­sediakan secara percuma oleh Tabung Haji sepanjang menunaikan ibadah itu.

Selain itu, jelasnya, demi kebajikan serta keselesaan jemaah, pelbagai kemudahan serta per­khidmatan yang disediakan oleh Tabung Haji di Tanah Suci serta di Malaysia ditambah baik tanpa sebarang bayaran tambahan antaranya kesihatan, kaunseling, bim­bingan dan kewangan.

‘‘Kerajaan sentiasa cakna da­lam memartabatkan syiar Islam dengan memberikan sokong­an berterusan kepada Tabung Haji melalui kerjasama kukuh yang dimeterai dengan pelbagai agensi kerajaan lain,’’ katanya.

Dalam masa sama, kata beliau, Tabung Haji juga telah memulakan proses penghantaran surat tawaran menunaikan haji secara berperingkat bermula semalam.

‘‘Oleh yang demikian, bakal-bakal haji yang berada dalam penggiliran kuota haji bagi 2018 dan 2019 dinasihatkan untuk mengemas kini maklumat peri­badi seperti alamat dan nombor telefon masing-masing dengan segera,’’ katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.