Aktiviti Berenang Bantu Ara Kekal Stamina

SHAH ALAM: Penyanyi, Ara Johari, mengamalkan aktiviti berenang sebagai rutin harian bagi mengekalkan stamina sekali gus memastikan mutu vokalnya terjaga.

Katanya, sebagai orang baharu dalam arena nyanyian, banyak aspek masih perlu dimantapkan dan diperbaiki, terutama sebelum menyertai sebarang pertandingan besar termasuk pentas Muzik Muzik.

“Memang saya perlu berusaha lebih sebaik saja lagu saya, Warkah Untukmu, diumumkan dapat memasuki peringkat separuh akhir Muzik Muzik. Selain berlatih vokal, saya juga kerap berenang.

“Kebanyakan calon lain pula lebih berpengalaman dan penuh karisma hingga membuatkan saya bersemangat untuk sama-sama memberi yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas program separuh akhir Muzik Muzik ke-32, minggu kedua berakhir, di Sri Pentas 2, di sini.

Selain Warkah Untukmu yang juga ciptaan Hang Nadim dan Laq, saingan minggu kedua itu turut membariskan sembilan lagu lain termasuk Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai dendangan Dayang Nurfaizah yang diumumkan sebagai Lagu Terbaik.

Sepanjang tiga minggu separuh akhir Muzik Muzik ke-32 berlangsung, sebanyak 30 lagu dipertandingkan, dengan 10 karya berentap pada setiap minggu. Ahad ini, 12 lagu yang layak bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) 32, pada Februari depan, akan diumumkan.

Akui pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari, 20, itu, beraksi bersama beberapa penyanyi senior lain memberikan 1,001 pengalaman berharga dalam kerjaya nyanyiannya.

“Pertandingan ini cukup berbeza dan unik. Ia bukan berkisar mengenai vokal dan persembahan semata-mata kerana paling penting adalah lagu yang disampaikan.

“Antara penyanyi yang saya hormati dan bagi saya mempunyai pakej lengkap dalam melantunkan lagunya sepenuh jiwa ialah Dayang Nurfaizah. Nyanyiannya membuatkan bulu roma meremang.

“Apabila bertanding dalam acara besar seperti ini, saya cuba membuang rasa gugup. Saya turut melihat semua penyanyi yang naik ke pentas sebagai pesaing yang sangat saya hormati,” kata bekas peserta Akademi Fantasia 2016 itu lagi.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.