350 Pemimpin NGO dan PIBG Lafaz Ikrar Bebas Rasuah

IPOH – Seramai 350 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) negeri ini menyertai lafaz Ikrar Bebas Rasuah.

Program anjuran Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu disertai oleh 20 NGO dan wakil PIBG daripada 150 sekolah.

Antara NGO yang menyertainya ialah Dewan Perniagaan Islam Perak, Persatuan Rekreasi Negeri Perak, Persatuan Silat Helang Putih serta wakil PIBG daripada sekolah di daerah Kinta.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir merasmikan majlis dan mengetuai majlis pembacaan ikrar berkenaan.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus, berkata pihaknya menyokong penuh usaha yang dibuat MCW bersama-sama kerajaan negeri dalam menggalakkan NGO menjadi mata dan telinga kepada SPRM.

“Penyertaan mereka akan menjadi sumber inspirasi kepada orang awam dan penduduk kampung supaya dapat bersama-sama membantu SPRM dalam membanteras jenayah rasuah.

“Jadi, penyertaan rakyat melalui Gerakan Revolusi AntiRasuah (GERAH) ini akan menjadikan rakyat benar-benar bangun bersama-sama kita untuk bergerak agresif dalam membenci rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani dan melafaz ikrar berkenaan yang diadakan di Auditorium Institut Latihan Perindustrian Ipoh di Taman Meru, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden WCW, Jais Abdul Karim.

Zainul berkata, faktor paling penting ialah kesedaran rakyat bahawa rasuah bukan lagi perkara yang boleh diambil mudah.

“Kalau dahulu dadah musuh nombor satu, tetapi sekarang disebabkan rasuah, pengedaran dadah, kemasukan senjata api termasuk membabitkan kemalangan, lesen terbang dan sebagainya boleh berlaku,” katanya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.