JAS Siasat Najis Babi Di Sepang Cemar Sungai

KUALA LUMPUR — Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan siasatan segera mengenai pencemaran najis babi di Sungai Giling di Kampung Batu Laut, Sepang, Selangor.

 

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata siasatan itu bagi mengenal pasti secara menyeluruh bentuk pencemaran sebelum mengambil tindakan susulan.

 

“Beberapa penyelesaian boleh dibuat…apa sahaja melibatkan industri ternakan, sekiranya perlu dipindahkan dari kawasan itu kita boleh arahkan seperti penternakan babi berdekatan lapangan terbang di Sarawak yang telah dipindahkan kerana mengakibatkan bau busuk.

 

“Sekiranya benar dakwaan pencemaran di sungai itu disebabkan najis babi, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pemilik ladang berkenaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini semalam.

 

Sebuah akhbar harian semalam melaporkan penduduk kampung berkenaan mendakwa pencemaran itu bukan sahaja menjejaskan sungai, malah menyebabkan penduduk khususnya orang Melayu berpindah selepas menjual tanah masing-masing kerana tidak tahan dengan pencemaran itu.

 

Menurut laporan itu, lebih 12 hektar tanah berstatus pegangan bebas milik penduduk Melayu sudah bertukar milik selepas pemiliknya tidak mampu meneruskan kehidupan yang diselubungi bau busuk kesan pencemaran najis babi. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!