Annuar Letak Jawatan Presiden KAFA

KUALA LUMPUR — Tan Sri Annuar Musa hari ini mengumumkan melepaskan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuatkuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada individu lain yang lebih layak.

 

Salinan surat dua halaman berhubung peletakan beliau sebagai Presiden KAFA bertarikh hari ini turut dimuat naik di laman Facebook peribadinya.

 

“Dengan hati yang berat, saya dengan ini memaklumkan bahawa saya melepaskan jawatan saya selaku presiden KAFA berkuatkuasa serta-merta.

 

“Saya berharap tugas ini dapat dipikul oleh mereka yang lebih mampu mengangkat kecemerlangan bola sepak Kelantan,” katanya dalam surat itu.

 

Ahli Parlimen Keterah yang juga Ketua Penerangan UMNO itu sebelum ini telah membayangkan hasratnya meletakkan jawatan tersebut beberapa hari lalu dan mengakui sudah penat serta kehabisan idea untuk terus membangunkan bola sepak Kelantan.

 

“Mungkin sudah tiba masa Kelantan membuat pembaharuan daripada segi pengurusan sebagaimana dilakukan beberapa pasukan lain.

 

“Sehubungan itu, saya berhasrat melepaskan jawatan yang disandang sejak 2008 sekali gus memberi laluan kepada orang baharu,” katanya kelmarin.

 

Annuar yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan mula mengetuai KAFA sejak 2007 dan sejak itu melaksanakan pembaharuan yang berjaya meningkat prestasi pasukan The Red Warriors.

 

Antara kejayaan dan pencapaian membanggakan sepanjang beliau mengemudi pengurusan KAFA termasuklah membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia buat pertama kalinya pada 2010.

 

Pada 2012 Kelantan sekali lagi di bawah pengurusan Annuar berjaya membawa pulang Piala Malaysia serta mencipta sejarah muncul juara treble pada tahun tersebut. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!