Adun BN Bentang Usul Tergempar SPLASH Di DUN Selangor Esok

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional akan membentangkan usul tergempar berhubung bayaran pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH), berjumlah RM2.975 bi­lion iaitu 10 kali ganda lebih tinggi daripada tawaran asal sebanyak RM250.6 juta di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor esok.

 

ADUN BN-Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz ketika dihubungi SuaraTV berkata, usul tersebut telah dihantar oleh ADUN BN-Sungai Burung, Datuk Samsudin Lias kepada Speaker DUN, Hannah Yeoh jam 10 pagi tadi.

 

“Kita harap Speaker akan terima usul ini untuk dibahaskan usul tersebut,” katanya sebentar tadi.

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikecam hebat pelbagai pihak kerana bersetuju dengan kos pengambilalihan yang terlalu tinggi menuduh ia telah dipersetujui oleh Menteri Besar Selangor sebelum itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 

Dakwa Azmin, Abdul Khalid menerusi dua surat rasmi bertarikh 25 Jun dan 19 Julai 2009 telah bersetuju dengan jumlah tawaran RM2.975 bi­lion tersebut kepada SPLASH.

 

Abdul Khalid bagaimanapun menafikan itu dan menjelaskan kerajaan ne­geri menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah menerima cadangan untuk mengambil alih aset serta ekuiti empat syarikat konsesi air di Sela­ngor iaitu Puncak Niaga Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS), SPLASH dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.

 

Menurutnya, kaedah peni­laian yang digunakan untuk setiap kumpulan adalah berbeza dan atas sebab itulah nilai tawaran setiap syarikat turut berlainan.

 

Tambah Abdul Kha­lid, dalam tawaran ter­akhir kerajaan ne­ge­ri kepada SPLASH di bawah rancangan penstrukturan industri itu adalah sebanyak RM250.6 juta meliputi bayaran ekuiti serta tanggungan hutang berjumlah RM1.564 bilion.

 

Namun Abdul Kha­­­lid menjelaskan, Splash bagaimanapun mempertikaikan tawaran kerajaan negeri berdasarkan pulangan ekuiti 12 peratus semasa pentadbirannya.

 

Malah ujarnya, tawaran kerajaan negeri itu juga dimaklumkan kepada Bursa Malaysia dan pihak berkuasa terlibat kerana melibatkan beberapa syarikat yang tersenarai dalam terbitan awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.