UMK Nafi Prof Abu Hassan Terbabit ‘Ciplak Karya’ Orang

Kota Bharu – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini menafikan berlaku plagiat dalam kalangan ahli akademik universiti berkenaan seperti yang didedahkan beberapa hari lalu.

Naib Canselornya, Datuk Dr Raduan Che Rose, berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan telah melakukan siasatan.

“Ini satu kes serius dan saya telah menyiasat perkara itu dengan memanggil kedua-dua individu terlibat iaitu individu yang kena tuduh dan individu yang membuat tuduhan untuk menyelesaikan perkara ini.

Saya dapati ini disebabkan sedikit salah faham sahaja,” katanya kepada pemberita memetik laporan Bernama selepas Majlis Anugerah Citra 2014 UMK di Kampus Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

SuaraTV sebelum ini mendedahkan mengenai salah laku oleh seorang profesor dari UMK yang berdepan dengan tuduhan plagiat ketika menyiapkan tesis kedoktoran di sebuah universiti luar negara.

Perkara itu disedari oleh salah seorang pensyarah UMK yang kemudiannya membuat satu laporan polis agar satu siasatan dapat dijalankan.

Beliau turut menjelaskan laporan polis yang dibuat itu setelah melakukan kajian dan yakin dengan dakwaan tersebut.

“Hasil kajian dan penyelidikan, saya yakin seratus peratus tesis yang dilakukan oleh beliau (Prof Abu Hassan) itu merupakan hasil ‘ciplak’ daripada karya orang lain.

“Atas sebab itu saya membuat laporan polis berhubung salah laku tersebut” pensyarah yang enggan mendedahkan identitinya itu ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi.

Menurutnya laporan polis itu dibuat pada 1 November lalu di Balai Polis Bachok, Kelantan.

Di dalam laporanya itu, beliau menjelaskan menemui bukti yang menunjukkan tesis Prof Dr Abu Hassan tidak sah untuk penilaian akademik kerana telah ‘diciplak’ dari sebuah buku yang ditulis oleh Viola Shafik bertajuk ‘Arab Cinema History And Cultural Identity’.

Raduan yang juga merupakan Setiausaha Agung Majlis Profesor Negara turut menjelaskan, isu kredibiliti akademik menjadi satu perkara yang sangat penting dan pihaknya tidak ada toleransi sekiranya ia benar-benar berlaku.

Beliau berkata, perkara itu tidak perlu diperbesar kerana ia hanya satu salah faham dan telah diselesaikan selain menggesa ahli akademik untuk menumpukan usaha membangunkan UMK ke peringkat yang lebih dikenali.

“Saya ingin melihat tenaga kita, usaha kita dan segala apa yang ada untuk membangunkan universiti bukan sama-sama bergaduh,” katanya.

 

Baca: Ciplak Karya: Pensyarah UMK Mengaku Buat Laporan Polis Terhadap Prof Abu Hassan

 

Baca: Sumber Dalaman UMK Dakwa Profesor Plagiat Mohon Letak Jawatan

 

Baca: Gara-Gara Laporan Profesor Dituduh Plagiat, UMK Tutup Akses Website?

 

Baca: Ahli Majlis Profesor Negara, Profesor UMK Dituduh Ciplak Untuk Tesis Phd?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.