RMK-11 Transformasi Terakhir Jadikan Malaysia Negara Maju

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak berkata Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang akan dibentang pada Mei depan merupakan langkah transformasi terakhir dalam menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana menteri berkata bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan akan memberi keutamaan kepada projek-projek berimpak tinggi dengan kos yang rendah selain memastikan pelaksanaan yang cekap dan pantas.

“Di samping itu, pendekatan-pendekatan yang diutarakan dalam Bajet 2015 yang bertemakan Ekonomi Keperluan Rakyat di mana saya membahagikan pengurusan ekonomi kita kepada dua bahagian yakni ‘capital economy’ (ekonomi modal) dan ‘people economy’ (ekonomi rakyat),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran radio perdana menteri yang dimuat naik dalam laman web najibrazak.com hari ini.

Najib juga yakin negara berada di landasan yang tepat dan berpandangan positif Malaysia mampu mencapai status negara maju menjelang 2020 berbekalkan pendekatan yang dirancang itu.

Pada 10 Oktober, perdana menteri membentangkan Bajet 2015 yang memperuntukkan RM273.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, yang dianggap pelengkap kepada 10 Rancangan Malaysia.

RMK-11 akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula 2016 hingga 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.