‘Kamu Hantar Saya Ke Penjara Saya Terima’ – Anwar Ibrahim

Putrajaya – “Saya terima nasib saya. Kamu (kerajaan) nak bebaskan, Alhamdulillah. Kamu nak hantar saya ke penjarakan saya, saya terima,” demikian kata-kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapan kira-kira 100 orang penyokongnya di luar Istana Kehakiman.

Anwar berkata, beliau juga menasihatkan agar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Wan Azizah agar menerima keputusannya yang melibatkan kes Liwat II nanti.

Anwar yang juga merupakan Ketua Umum PKR menambah, walaupun beliau menerima nasibnya, tetapi beliau juga meminta dan merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail agar menghentikan kegiatan mendakwa orang ramai.

“Sudahlah..tak habis..habis guna undang-undang Akta Hasutan mendakwa orang. Sekarang anak-anak kita lapan orang di UM (Universiti Malaya).

“Sudahlah universiti, profesor-profesor ni jangan jadi kangkung. You (kamu) nak latih anak-anak muda tak malu ke. Nama profesor senior tetapi kerja ikut UMNO sahaja,” katanya yang berucap kira-kira 13 minit di hadapan penyokongnya.

Beliau juga berharap agar kerajaan tidak mengapa-apakan pelajar-pelajar di universiti kerana pelajar merupakan masa hadapan negara.

“Anak-anak kita ini harapan kita masa hadapan. Kalau ada anak kita yang berani sedikit kita patut kita bangga,” ujarnya.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan telah menangguhkan kes penghakiman berhubung rayuan terakhir Anwar Ibrahim terhadap sabitan kesalahan meliwat dan hukuman penjara lima tahun ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Menurut Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim, pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan.

Ariffin turut melanjutkan tempoh ikat jamin Anwar sebanyak RM10,000 sementara menunggu keputusan mahkamah tertinggi itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.