Jangan Sekat Suara Generasi Muda – Pemuda Umno Johor

Johor Bahru – Pemuda Umno Johor meminta kepimpinan parti mendengar dan memberi ruang lebih luas kepada orang muda mengutarakan pandangan tentang pelbagai isu yang membelenggu negara.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata Umno perlu mendengar suara dan pendapat yang dikemukakan oleh orang muda dan tidak bertindak menyekat atau melenyapkan pandangan golongan berkenaan.

“Suara dan pandangan golongan muda perlu disambut serta dilaksanakan. Jangan sekat mereka daripada bersuara tentang sesuatu perkara,” katanya kepada pemberita selepas berakhir Bengkel Persediaan Menghadapi Konvensyen Umno Johor 2014 di Johor Baru, hari ini.

Konvensyen Umno Johor 2014 akan diadakan pada 14 dan 15 November di Hotel Berjaya Waterfront, dekat Johor Baru.

Hahasrin berkata Pemuda Umno mahukan suara dan permintaan yang dikemukakan orang muda disuarakan sendiri oleh mereka dan bukannya kepimpinan parti yang tidak lagi berada dalam kumpulan tersebut.

Beliau berkata pergerakan itu akan membawa beberapa usul untuk dibincangkan pada konvensyen itu kali ini, termasuk berkaitan politik, pendidikan dan agama, generasi muda serta ekonomi.

Hahasrin berkata Pemuda Umno Johor akan mengutarakan supaya pendidikan sekolah agama di negeri ini, dianjak ke tahap lebih tinggi dengan memperkemas modul-modul pengajaran serta meningkatkan tahap gaji guru-gurunya.

Naib Ketua Pemuda Umno negeri, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata idea-idea membabitkan golongan muda mestilah disuarakan oleh kepimpinan muda dalam Umno itu sendiri.

“Jika idea-idea tentang orang muda disampaikan oleh kepimpinan yang tidak lagi muda, ia akan menjadi ‘idea dinosaur’ dan tidak akan mencapai apa yang dimahukan oleh orang muda,” katanya.

Kerajaan yang dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) juga perlu lebih berani memberi peluang dan kepercayaan kepada orang muda yang berkelayakan menjawat jawatan di agensi serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, katanya.

Langkah memberi kepercayaan kepada orang muda memegang jawatan tinggi tersebut, kata beliau akan memastikan golongan muda berada di barisan hadapan dalam kepimpinan parti dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.