Jangan Cabar Hukum Allah – Harussani

Ipoh – Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah perlembagaan, sebagai tindakan mencabar hukum Allah S.W.T.

Memetik Astro Awani online, Harussani berkata, lelaki berpakaian seperti perempuan atau pun sebaliknya adalah satu daripada perkara yang amat bertentangan dengan ajaran Islam, justeru ianya perlu disekat.

Katanya, tindakan mahkamah rayuan itu diibaratkannya sebagai menghalalkan perkara haram dan ianya akan menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam.

“Ianya adalah kehendak dan juga hukum agama Islam, bukannya adat untuk kita sesuka hati menghalalkan. Haram untuk lelaki menyerupai wanita.

“Saya amat sedih, undang-undang tersebut diwujudkan, bagi menjaga akhlak orang Islam untuk tidak melanggar hukum syarak Islam. Tetapi, sekarang ianya seperti dihalalkan.

“Dengan keputusan yang dibuat itu, masyarakat khususnya orang Islam akan bebas melakukan dosa dan melanggar syarak Islam tanpa rasa takut. Jangan kita mengundang bala,” katanya pada Jumaat.

Harussani turut menasihatkan orang ramai memahami ilmu agama dengan lebih mendalam, supaya setiap perbuatan tidak bercanggah fahaman agama Islam.

“Saya harap orang ramai faham kehendak agama, belajar dan kenal Allah S.W.T serta hukum-hukumnya.

“Memang kita digalak menjadi liberal, tetapi liberal dalam soal pembangunan, jangan sampai kita mencabar Tuhan dan mengubah hukumnya sendiri,” ujarnya.

Mahkamah rayuan pada Jumaat mengisytiharkan peruntukan enakmen agama Islam Negeri Sembilan yang menghalang lelaki Islam berpakaian dan berkelakuan seperti wanita, adalah tidak berperlembagaan.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus berkata, seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah melanggar Artikel 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan sebulat suara itu bermakna undang-undang yang sama di peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan juga tidak sah dan batal, katanya portal itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.