Jaminan Kerajaan Untuk 1MDB Hanya RM5.8 Bilion – Ahmad Maslan

Putrajaya – Jaminan yang dikeluarkan kerajaan untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hanyalah sebanyak RM5.8 bilion dan tidak lebih daripada jumlah itu, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata sehingga kini memang tiada sebarang surat yang membawa maksud kepada nilai jaminan yang lebih daripada jumlah itu.

“Kerajaan tidak ada lagi mengeluarkan sebarang jaminan selain RM5.8 bilion untuk 1MDB atau anak-anak syarikat milik penuhnya, termasuklah untuk bon AS$3 bilion,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Forum Genexter 2014 di sini Sabtu.

Majlis itu dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau mengulas dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli bahawa Kerajaan Persekutuan menjamin hutang-hutang 1MDB yang kini berjumlah RM41 bilion.

Dalam satu kenyataannya di Kuala Lumpur, Ahmad berkata sebagaimana dilaporkan dalam penyata tahunan 1MDB untuk tahun kewangan berakhir 2013, satu surat telah dikeluarkan sebagai pemegang saham tunggal 1MDB.

Jelasnya, menurut syarat-syarat di dalam surat tersebut, sekiranya 1MDB tidak dapat membayar hutang berkaitan bon yang berkenaan, sebarang tuntutan terhadap kerajaan selain tuntutan terhadap 1MDB, hanyalah terhad kepada syarat-syarat yang dinyatakan di dalam surat itu sahaja, dan ini bukan merupakan jaminan kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.