Gegar Vaganza Bukan Rendahkan Kredibiliti Artis Senior

Petaling Jaya – Penyertaan artis-artis senior menerusi program baharu Astro Ria iaitu Gegar Vaganza bukan mahu merendah-rendahkan kredibiliti mereka sebaliknya bertujuan mengembalikan kegemilangan masing-masing.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, perkara itu tidak seharusnya dibangkitkan apatah lagi juri-juri yang mengadili penyanyi-penyanyi senior yang bertanding adalah daripada kalangan profesional.

“Memang ada yang berpendapat program ini seperti ingin merendahkan bakat artis-artis senior.

“Bukan itu tujuan kami sebaliknya ia adalah platform untuk kembali menghangatkan nama mereka yang pernah menjadi fenomena sebelum ini,” katanya kepada mStar Online.

Raqim ditemui pada majlis pelancaran program Gegar Vaganza di Hard Rock Cafe di sini pada Jumaat.

Turut hadir pengasas Pamoga Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr. Vida.

Seramai 12 penyanyi menyertai Gegar Vaganza iaitu Mamat (Exist), Rahmat (Mega), Hasnol, Fazli Zainal, Sam (Innuendo), Ayai (Ilusi), Haleeda, Shima, Sharifah Zarina, Ifa Raziah dan Adilla.

Raqim menambah, pemilihan penyanyi-penyanyi tersebut adalah berdasarkan kemampuan mereka yang masih lagi hebat dalam persembahan nyanyian.

“Kami juga perlu mengikut masa mereka yang kebanyakannya sudah mempunyai kerjaya masing-masing.

“Tetapi jangan terkejut apabila menyaksikan program ini kerana mereka masih lagi menyengat,” ujarnya.

Juri tetap yang terlibat ialah Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim selain tiga juri jemputan iaitu Mamat Khalid, Salih Yaacob dan Nash (Lefthanded).

Para peserta akan diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh pihak juri.

Juara Gegar Vaganza akan membawa pulang wang tunai RM100,000 dan naib  juara akan menerima RM30,000.

Manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing akan menerima wang tunai sebanyak  RM15,000 dan RM5,000.

Gegar Vaganza akan bersiaran bermula 16 November ini setiap Ahad, pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135).

Program ini dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.