Dexamethasone Untuk Rawat Kecederaan – KJ

Kuala Lumpur – Bahan dexamethasone yang ditemui dalam ujian doping atlet badminton negara diambil untuk tujuan pemulihan, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas penggantungan sementara atlet itu, Khairy menjelaskan masih terdapat banyak kekeliruan berkenaan bahan tersebut.

“Atlit itu diberikan dadah untuk tujuan perubatan memandangkan beliau menjalani rawatan untuk kecederaan,” kata Khairy sewaktu ditemui pada satu majlis di gedung membeli-belah di ibu negara.

Menurutnya, bahan itu tidak dilarang penggunaannya pada sepanjang masa.

“Bahan itu hanya dilarang sewaktu kejohanan berlangsung,” kata Khairy yang turut menafikan desas-desus yang bertiup mendakwa atlet tersebut mengambil dadah untuk tujuan rekreasi.

“Tidak, malah dexamethasone bukan dadah untuk meningkatkan prestasi,” kata KJ lagi.

Sebelum ini dilaporkan Chong Wei terlibat dalam skandal tersebut selepas kesan dexamethasone dijumpai dalam air kencingnya (sampel A) semasa ujian rawak yang dijalankan di Kejohanan Dunia.

Dexamethasone adalah sejenis steroid dengan fungsi anti-radang, biasanya digunakan untuk membantu pemulihan atlet.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata penyiasatan yang menyeluruh terhadap sejarah perubatan pemain badminton tersebut mendedahkan dexamethasone tersebut diberikan kepadanya pada 17 Julai untuk merawat kecederaan pehanya.

“Kami sedang fikirkan satu lagi ujian sekarang. Atlet tersebut mengambil ujian doping luar pertandingan pada 15 Ogos di Malaysia yang dijalankan oleh Wada (Agensi Anti-Doping Sedunia) sebelum bertanding di Kejohanan Dunia di Copenhagen,” kata Khairy dipetik The Star.

Beliau berkata pelbagai ujian independen juga dijalankan oleh Institut Sukan Negara (NSI).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.