Bekas Menteri Puji Tindakan Khairul Kritik PM

Kuala Lumpur – Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin memuji tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor , Khairul Anwar Rahmat yang berani menegur sistem pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melalui blognya, Zainuddin berkata, ketika masyarakat Melayu dan Islam sedang tertekan di bawah konsep kesederhanaan yang diperkenalkan Perdana Menteri, ada pihak yang berani menegur konsep itu tidak berada di landasan betul.

“Apa yang saya faham dengan kenyataan Khairul, dia sebenarnya menyatakan bahawa ada ketikanya konsep kesederhanaan tidak sesuai diamalkan, terutama apabila ia melibatkan perjuangan agama dan penegakan undang-undang syariah.

“Khairul berkata, konsep kesederhanaan perlu diletakkan pada tempat yang betul. Syabas Khairul! Rupa-rupanya masih ada warisan perjuangan dalam Pemuda UMNO,” katanya.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Khairul mungkin tidak begitu menarik perhatian orang atasan UMNO dan dibiarkan berlalu begitu sahaja, tetapi itulah sebenarnya suara hati rakyat di akar umbi, terutama ahli parti itu sendiri.

“Suara lantang dan berani dalam hal yang menyentuh akidah dan maruah bangsa sudah tidak lagi diperjuangkan UMNO, apatah lagi Ketua Pemudanya yang telah dipertanggungjawabkan oleh badan bukan kerajaan, seperti Perkasa, kerana takut dilabel ekstrem.

“Kerana itulah Khairul berkata, perjuangan perlu habis-habisan dan kelantangan itu juga adalah satu bentuk keseimbangan, apabila kena pada masa dan topiknya,” katanya.

Zainuddin berkata, Najib berjaya dalam usahanya untuk mempromosikan imej Malaysia sebagai contoh negara Islam yang sederhana, tetapi ia turut mendatangkan kesan negatif kepada negara sehingga menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Kedudukan agama Islam mula dicabar, apabila timbulnya pelbagai provokasi yang menjatuhkan maruah Islam di negara ini. Orang bukan Islam pula mengambil kesempatan ini untuk mengeksploitasikan konsep berkenaan.

“Konsep kesederhanaan ini telah menyebabkan orang UMMO dan juga orang Melayu dan Islam berada dalam keadaan menyerah kalah, kerana takut dianggap sebagai ekstremis.

“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sendiri takut untuk mempertahankan seorang menterinya, Nancy Shukri yang menyampaikan keputusan Peguam Negara itu,” katanya.

Menurutnya, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga tidak bersuara dalam soal penganjuran Pesta Arak dan Sentuh Anjing yang sengaja dilakukan untuk mencabar umat Islam di negara ini.

“Saya cukup tersentuh dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Khairul, kerana masih terdapat Pemuda UMNO yang berjiwa besar dan berani. Semoga luahannya menjadi perintis kepada kebangkitan suara berani di kalangan Pemuda UMNO,” katanya.

 

Berikut adalah kenyataan penuh Zainuddin berhubung isu ini:

 

NAIB KETUA PEMUDA UMNO JOHOR DEDAHKAN LUKA TERPENDAM AKAR UMBI.

NAIB KETUA PEMUDA……..
Ketika Melayu dan Islam berada dipihak yang tertekan di bawah konsep kesederhanaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib,telah bangun suara berani dan sedar dari Selatan tanah air untuk menunjukan bahawa konsep itu tidak berada pada landasan yang betul.

Inilah fahaman saya dari kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor , Khairul Anwar Rahmat ( Utusan Malaysia 3 November 2014) apabila beliau menyatakan bahawa ada ketikanya konsep kesederhanaan tidak sesuai digunakan terutama melibatkan perjuangan agama dan penegakan undang-undang syariah.

“Konsep kesederhanaan perlu diletakan pada tempat yang betul,”katanya. Syabas Khairul. Rupa- rupanya masih ada warisan perjuangan dalam Pemuda UMNO.

Kenyataan ini mungkin tidak bagitu menarik perhatian dan dibiarkan berlalu bagitu sahaja tetapi sebenarnya inilah suara hati rakyat diakar umbi terutama ahli ahli UMNO .

Suara lantang dan berani dalam soal yang menyentuh akidah dan maruah bangsa sudah tidak datang lagi dari UMNO apatahlagi dari Ketua Pemuda UMNO tetapi telah diambil tanggungjawabnya oleh NGO dan Perkasa oleh kerana orang UMNO berada dalam ketakutan dianggap sebagai ekstrem atau tidak relevan dengan pentas globalisasi.

Maka itulah Khairul berkata ” Bagi kita,perjuangan habis-habisan dan kelantangan itu juga adalah satu bentuk perimbangan dan keseimbangan apabila kena pada masa dan topiknya kerana wasatiyyah usah ditafsir sebagai sederhana semata-mata kerana nanti kita terpalit dengan sindrom sederhana yang akhirnya melahirkan umat serba sederhana”

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berjaya dalam usahanya untuk mempromosikan imej Malaysia di luat negara sebagai contoh negara Islam sederhana tetapi mendatangkan kesan yang negatif dalam negara sehingga keperingkat akidah dan tradisi serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi dicabar dengan berbagai provokasi yang menjatuhkan maruah Islam di negara ini.

Orang bukan Islam dan fanatik Kristian mengambil kesempatan ini untuk mengexploitasi konsep ini bagi terlihat memihak kepada mereka.

Terkini orang Islam telah digunakan untuk mendedahkan tiada kesederhanaan dalam Islam di Malaysia bila orang Islam ditunjulkan tidak boleh menyentuh anjing dan pesta arak dibantah oleh orang Islam di negara Islam ini.

Keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Presiden Perkasa Ibrahim Ali kerana mengancam untuk membakar bible dalam Bahasa Malaysia dicabar dengan lantang untuk menunjukan tidak adanya keadilan dan kesederhanaan Islam di Malaysia. Pengarah Urusan The Star Datuk Wong Chun Wai telah tampil kehadapan menjadi juara dalam hal ini. Star diberikan kepercayaan oleh Datuk Najib untuk mempromosikan konsep sederhana.

Konsep sederhana ini telah menyebabkan orang UMMO dan juga orang Melayu dan Islam berada dalam keadaan menyerah kalah kerana takut di anggap sebagai ekstremis malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri takut untuk mempertahankan seorang menterinya Nancy Shukri yang menyampaikan keputusan Peguam Negara itu.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin tidak bersuara dalam soal penganjuran Pesta Arak dan Sentuh Anjing yang sengaja dilakukan untuk mendedahkan menerusi kebangkitan berbagai reaksi bahawa kesederhanaan bukan sifat orang Islam Malaysia.

Sewajarnya tindakan mencegah dan juga tindakan pantas diambil terhadap mereka yang telah melakukan hasutan dan provokasi untuk memecahbelahkan bukan sahaja perpaduan kaum tetapi menimbulkan pergaduhan sesama umat Islam di negara ini. Inilah cabaran sebenar terhadap Akta Hasutan 1948.

Berasaskan kepada semua perkembangan negatif ini, orang Islam yang sedar dan insaf merasa kekosongan dan kepalsuan dalam jaminan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam satu interviu dengan TV3 baru baru ini bahawa UMNO akan terus mendukong Islam ,Melayu dan Raja- Raja Melayu.(NST 6 November 2014).

Interviu ini adalah suatu usaha untuk mengawal kerosakan imej kerajaan yang sedang runtuh menjelang mesyuarat agung UMMO berikutan dengan berbagai masaalah perkauman dan penghinaan terhadap Perlembagaan Negara khususnya Islam yang berlaku sejak Najib menghapuskan ISA dan pendedahan hasratnya untuk meminda Akta Hasutan 1948.Dengan berbuat demikian beliau telah menjemput masalah demi masalah.

Saya percaya perkembangan-perkembangan negatif inilah mendorongkan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor menyeru supaya orang Melayu dan khususnya UMNO kembali lantang dan tidak dilalaikan oleh sindrom sederhana.

Sindrom sederhana ini menyebakan Melayu dan Islam berada dalam keadaan bertahan dan pihak musuh dipihak menyerang. Dalam peperangan bila berada dalam keadaan bertahan berarti sudah berada dalam kekalahan ,

Inilah yang sedang dirasakan oleh orang Melayu dan Islam sekarang.

Khairul sebenarnya telah menyuarakan apa yang dirasakan oleh orang Melayu dan Islam di akar umbi di seluruh negara.

Saya tersentuh kerana rupa rupanya masih ada pemuda UMNO yang berjiwa besar , sedar dan berani. Semuga suara ini menjadi perintis kebangkitan suara berani pemuda UMNO di seluruh tanahair yang sedang memendam rasa. – Sumber: zamkata.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.