Anak Tiri Siti Nurhaliza Dilantik Sebagai CEO Tune Studios

Muhammad Adib Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, telah dilantik secara formal sebagai CEO Tune Studios pada 7hb Oktober 2014. Beliau menggantikan Jeremy Little, yang telah meninggal dunia pada bulan April yang lepas.

Muhammad Adib sebelum ini telah memulakan syarikat rakaman beliau sendiri pada tahun 2010 iaitu Whats Up Entertainment, yang pernah menerbitkan album berbahasa Inggeris Siti Nurhaliza yang pertama iaitu ‘All Your Love’ pada September 2011. Syarikat beliau juga turut mengambil beberapa artis yang terkenal untuk berada di bawah naungan syarikat tersebut seperti Caprice, Ron E Jones dan banyak lagi.

Pihak Daily Seni berjaya menanyakan beberapa soalan kepada beliau tentang tanggungjawab beliau sebagai CEO Tune Studios yang baru.

Dari segi perubahan yang bakal dibawa, beliau berkata bahawa untuk masa sekarang beliau ingin meneruskan beberapa projek yang telah dirancang oleh Allahyarham Jeremy, seperti mencari bakat baru, membuka publishing house sendiri, membikin acara konsert muzik dan barangkali bakal mengeluarkan beberapa ideanya sendiri pada masa yang akan datang.

Berdasarkan pengamatan beliau terhadap industri muzik di Malaysia sendiri, beliau melihatnya dengan pandangan yang lebih luas, lebih secara menyeluruh dan melihat industri muzik di dalam kategori Nusantara – di mana Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei mempunyai potensi untuk berkembang sebagai satu industri yang benar-benar kukuh dimana wujudnya persamaan dari segi penggunaan bahasa sebagai medium penyampaian karya.

Selaku CEO kepada syarikat besar seperti Tune Studios, beliau dilihat sebagai seorang yang aktif dan tidak hanya ingin berada di ruang pengurusan, sebaliknya ingin juga menyumbang idea-idea beliau dari segi aspek kreativiti.

Beliau kelihatan begitu bersemangat untuk menjalankan peranan yang signifikan di dalam industri muzik, dan dengan pertolongan pihak-pihak yang terlibat, beliau bersyukur kerana dapat berada di dalam kumpulan yang positif dan bertenaga.

Apabila ditanyakan tentang tekanan yang dihadapi sebagai CEO pada usia yang muda, beliau dengan tenang memberikan jawapan bahawa usia bukanlah faktor yang menentukan kebolehan seseorang, sebaliknya determinasi dan semangat yang dilihatnya sebagai sesuatu yang benar-benar penting. Beliau berharap agar dapat terus menimba ilmu-ilmu yang ada, agar dapat berkembang dengan sihat dan melakukan sumbangan yang benar-benar signifikan kepada industri muzik di negara ini. -Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.