Siti Nurhaliza dan Rosyam Nor Terima Anugerah AAM

GEORGE TOWN – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dipilih menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Selebriti 2019 oleh Akademi Pengurusan Asia (AAM), di sini hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Aldrin Abdullah dalam satu majlis bersempena Persidangan Antarabangsa Akademi Pengurusan Asia 2019 di USM.

Turut menerima pengiktirafan adalah produser dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keusahawanan Selebriti 2019.

Terdahulu Siti Nurhaliza dalam ucapannya sebaik menerima anugerah itu berkata, beliau bersyukur dan sangat tersentuh dengan penghargaan yang diberikan terhadap insan-insan seni.

“Alhamdulilah syukur diberikan pengiktirafan ini, saya sangat tersentuh dengan mereka yang begitu menghargai insan-insan seni. Saya diberitahu USM sendiri menyediakan kursus pengajian dalam bidang seni dan ini menunjukkan seni itu luas dan ramai pihak dapat menimba ilmu dalam bidang seni,” katanya.

Penyanyi nombor satu negara itu turut menitipkan nasihat kepada golongan muda untuk terus berusaha menggapai apa yang diimpikan.

“Saya harap adik-adik yang masih bersekolah teruskan usaha sebab saya adalah anak kampung daripada Kuala Lipis, Pahang dan bercita-cita tinggi. Cita-cita saya menjadi kenyataan kerana dengan adanya usaha, adanya kesungguhan, adanya insan-insan di sekeliling kita yang memberikan input-input yang positif,” katanya yang turut ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai eksekutif PLUS Malaysia Bhd, Datuk Azman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Noor Azmi Mat Said dipilih menerima Anugerah Tahunan Tokoh Perniagaan 2019.

Pengarah Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib dinobatkan sebagai Ahli Perniagaan Terunggul Tahun 2019 sementara Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak menerima Anugerah Alumni Terunggul.

AAM adalah sebuah badan bukan kerajaan yang berpusat di USM sejak tahun 1994. – BERNAMA

Lain-lain berita;

Menteri Disaran Dapatkan Petua Turun Harga Minyak Daripada Anwar dan Rafizi

Penasihat PKR Dakwa Mahathir Sedang Kumpul Kekayaan Untuk Kroni dan Anak

Skim Pencen Tiada Lagi Mulai 2020, Jimatkan Belanja Kerajaan – KP JPA

Pemuda India Sakit Hati Tengok Mahathir Membebel Tuduh Melayu Malas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.