Ejen Hartanah Terkejut Jumpa Rangka Manusia Dalam Rumah

JOHOR BAHRU – Satu rangka manusia ditemukan seorang ejen hartanah ketika melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Jalan Seneka, Taman Centry Garden di sini Sabtu lalu.

Kejadian itu disedari ejen hartanah itu kira-kira pukul 2.35 petang sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, sepasukan pasukan penyiasat dikejarkan ke tempat kejadian sebelum mendapati rangka manusia ditemui di pintu bilik air dalam sebuah bilik di rumah tersebut.

“Siasatan di tempat kejadian tiada menjumpai apa-apa senjata yang menjurus kepada perbuatan jenayah.

“Menurut ejen itu, beliau datang ke rumah tersebut untuk bertemu penyewa rumah kerana rumah tersebut akan di jual kepada orang lain.

“Sampai di rumah tersebut telah panggil penyewa tapi tidak dijawab, lalu buka pintu yg dikunci dari dalam. Apabila di periksa rumah tersebut telah jumpa rangka manusia di pintu bilik air dalam satu bilik di rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, rangka itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat sebelum mendapati rangka itu merupakan seorang wanita dikenali sebagai Hooi Mee Mee @ Khor Baby, 78.

Jelasnya, hasil bedah siasat turut mendapati mangsa telah mati kira-kira enam bulan yang lalu.

“Keluarga si mati sedang dikesan bagi tujuan siasatan dan tuntutan mayat si mati.

“Sehingga kini tiada unsur jenayah atau khianat ditemui dalam kejadian ini dan siasatan mati mengejut dibuat dalam kes ini,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.