Warga ATM Dilarang Terbabit Aktiviti Politik

KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti politik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang berlangsung ketika ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, warga ATM perlu berpegang teguh kepada prinsip atau amalan ‘Apolitical’ iaitu tidak memihak kepada mana-mana parti politik atau terlibat dalam perjuangan parti.

“Sebarang kempen-kempen politik juga tidak dibenarkan diadakan di dalam kem tentera serta premis ATM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata larangan ini bukan hanya kepada PRK Port Dickson sahaja tetapi meliputi pilihan raya umum akan datang.

PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru di antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong dan pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen.

Kerusi Parlimen itu dikosongkan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini (13 Oktober) sebagai hari pengundian dan esok sebagai pengundian awal. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.