Video: Bukan ‘Level’ Saya Untuk Ulas Cacian di Media Sosial, Kata Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata bukan ‘level’ beliau untuk memberi maklum balas terhadap kecaman dan komen netizen di media sosial berkaitan isu serbuan khalwat yang hangat diperkatakan sekarang.

Namun menurutnya, beliau mempersoalkan tindakan sesetengah pihak terutama agamawan yang mengkritiknya kerana lebih berminat membaca tajuk berita dan membuat andaian tanpa mendapatkan kebenaran dahulu darinya.

“Daripada isu ini kita boleh lihat bagaimana tahap mentaliti seseorang, ada yang tidak membaca transkrip penuh tetapi memaki hamun, macamlah menteri agama ini bodoh sangat, macamlah menteri agama ini tak ada agama dalam diri dia.

“Kalau yang cakap itu orang di media sosial saya tidak kisah, kerana bukan taraf kita nak bincang dengan mereka, tetapi ada yang bercakap ini agamawan, mereka yang dihormati masyarakat,” katanya.

Kata Mujahid lagi, mereka yang mengkritik sepatutnya menunggu penjelasan sekiranya mereka tahu menghormati beliau sebagai menteri agama.

“Setidak-tidaknya ambillah sikap membiarkan menteri memberikan penjelasan terlebih dahulu, kalau kita hormat dia (menteri), kalau tidak hormat main belasah sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, Mujahid menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk agamawan seperti mufti serta netizen di media sosial selepas portal mStar (portal berbahasa Melayu milik The Star) melaporkan beliau mengeluarkan kenyataan apa yang berlaku di belakang pintu tertutup bukan urusan kerajaan.

“Katakan anda melakukan sesuatu dalam ruang peribadi anda, saya tidak akan campur tangan.

“Sebagai contoh, pengambilan alkohol adalah satu kesalahan bagi seorang Muslim, tetapi jika anda melakukan perbuatan itu di dalam kawasan anda, maka sebagai sebahagian daripada kerajaan, saya tidak akan campur tangan,” ujarnya dipetik dari mStar. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.