Tun M: Tiada Tempoh Masa Ditetapkan Untuk Mansuh Akta Hasutan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk menghapuskan Akta Hasutan, memandangkan terdapat banyak akta yang turut ingin dipinda dan dimansuhkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru katanya, pemansuhan Akta Hasutan mengambil masa untuk dilaksanakan dan perlu pula mematuhi perlembagaan negara.

“Kita tidak boleh tentukan lagi tempoh masanya dengan tepat. Kita mempunyai sejumlah undang-undang yang mahu dimansuhkan dan dipinda, jadi ia memakan masa.

“Hal ini kerana peguam negara perlu melihat semua undang-undang baru, dan terdapat undang-undang itu melibatkan perlembagaan persekutuan.

“Kita perlukan dua pertiga majoriti dan kita tidak ada lagi majoriti itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku bertajuk “Tun Ismail Ali – Paragon of Trust and Integrity” di Sasana Kijang, di sini, hari ini.

Dr Mahathir juga berkata, beliau tidak kisah sekiranya terdapat pihak yang memberinya pelbagai gelaran tidak enak kerana tidak menyenangi apa yang beliau katakan. 

“Akta Hasutan masih ada lagi, untuk memansuhkannya memakan masa, ia perlu dibawa ke Parlimen. Jadi pada masa ni, mereka (pihak berkuasa) boleh terus menggunakan undang-undang itu.

“Tetapi saya tidak peduli berkaitan perkara ini, sesiapa yang mahu menggelar saya dengan pelbagai nama, dipersilakan” katanya.

Baru-baru ini adik kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ditahan polis di bawah akta berkenaan atas dakwaan menyiarkan imej yang menghina perdana menteri di media sosial.

Susulan itu, Lokman menyelar kerajaan kerana masih belum menunaikan janji untuk menghapuskan Akta Hasutan, sebagaimana yang dijanjikan sebelum PRU14 lalu. 

Bidas Lokman, sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang paling lantang mengkritik akta tersebut, namun kini ia dijadikan senjata utama kerajaan untuk ‘memerangi’ musuh mereka. -SuaraTv 

One thought on “Tun M: Tiada Tempoh Masa Ditetapkan Untuk Mansuh Akta Hasutan

  • October 8, 2018 at 9:46 pm
    Permalink

    salam tun m…. doa saya tun dn kerajaan sentiasa amanah jujur ikhlas bebas rasuah demi negara ini!!! jgn spt parti korup yg kes tk habis2??? bayar jamin jutaan ringgit?? heran pelik anih!! tapi mereka lupa jerat tk lupa pelanduk???
    syabas tun m dn PH !!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.