The Star Beri Penjelasan Tanpa Mohon Maaf

SHAH ALAM – The Star hari ini tampil membuat penjelasan berhubung laporannya mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkaitan isu penguatkuasaan khalwat yang menjadi perdebatan umum ketika ini. 

Menurut satu kenyataan yang disiarkan The Star Online, akhbar itu menjelaskan bahawa ayat pada perenggan pertama iaitu “Tiada lagi ketukan pintu di tengah malam hari dan tiada lagi pintu yang dipecahkan pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat dan dakwaan kesalahan lain”, bukan kenyataan yang dikeluarkan Mujahid.

Menurut akhbar berkenaan lagi, ayat pada perenggan pertama itu adalah berdasarkan jawapan Mujahid kepada soalan yang diajukan.

Akhbar tersebut turut menampilkan transkrip soalan yang dikemukakan pemberita dan jawapan Mujahid.

“Ia berdasarkan jawapan kepada soalan: ‘Katakan seseorang melakukan perzinaan di belakang pintu tertutup, iaitu khalwat. Sekarang pegawai anda boleh memecahkan pintu dan menangkap mereka. Adakah ini akan berubah?”

“Untuk rekod itu, menteri itu menjawab: ‘Saya akan menasihati semua agensi di bawah saya, terutama pegawai penguat kuasa, untuk tidak mengganggu ruang peribadi.

“Penguatkuasaan isu khalwat ini telah disalahgunakan – tidak semuanya, tetapi ada masa di mana ia telah dieksploitasi dan disalahgunakan.

“Penguatkuasaan khalwat berada di dalam badan kehakiman negara dan tidak tepat di bawah bidang kuasa saya, tetapi kita boleh mempunyai platform di mana kita bertemu dengan semua pengarah negeri jabatan hal ehwal Islam dan berkongsi keprihatinan kerajaan persekutuan mengenai isu-isu ini’”, demikian penjelasan akhbar itu.

Pada perenggan akhir, akhbar berkenaan menyatakan kekesalan berikutan laporannya mengenai isu khalwat menimbulkan kekeliruan. 

Bagaimanapun, tiada permohonan maaf yang dikemukakan dalam kenyataan tersebut.

Semalam, Setiausaha Akhbar kepada Mujahid, Siti Zulaikha Zulkifli mendesak agar akhbar berkenaan memohon maaf kerana mengambil kenyataan menteri itu berkaitan isu khalwat di luar konteks sehingga menimbulkan kekeliruan. 

Siti Zulaikha berkata, tindakan lebih tegas akan diambil terhadap akhbar berbahasa Inggeris tersebut sekiranya permohonan maaf tidak diterima dalam tempoh 24 jam. -SuaraTv 

One thought on “The Star Beri Penjelasan Tanpa Mohon Maaf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.