SOP Cegah Khalwat ‘Tidak Maksum’, Perlu Diperbaiki, Kata Mujahid

KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi penguatkuasaan pencegahan khalwat sebagai ‘tidak maksum’ dan perlu diperbaiki.

Menurut Mujahid, beliau dimaklumkan bahawa SOP penguatkuasaan mencegah khalwat sudah lama tidak dibincangkan dengan pihak sepatutnya untuk tujuan kaji semula dan penambahbaikkan.

“Apa SOP ni maksumkah? Tidak, semua ini bukan maksum cuma ia perlu diperbaiki. Ia perlu dilihat semula, cara pelaksanaannya, salah ke?,” kata beliau dipetik FMT.

Mujahid berkata demikian semasa mempengerusikan persidangan meja bulat Falsafah dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah dalam Mencapai Matlamat Rahmatan lil Alamij di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia, hari ini.

Kenyataan itu menyusul selepas kontroversi berhubung temu bual beliau dengan sebuah media berbahasa Inggeris baru-baru ini. 

Mujahid sebelum ini dilaporkan akhbar berkenaan sebagai berkata, kerajaan tidak  akan lagi melaksanakan serbuan khalwat ke atas pasangan Islam, kerana apa yang berlaku di ruangan peribadi bukanlah urusan kerajaan.

Mujahid bagaimanapun menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian dan mendakwa akhbar tersebut membuat tafsiran sendiri berdasarkan temubual mereka.

Menyentuh lebih lanjut, Mujahid berkata kontroversi berhubung isu berkenaan jelas menggambarkan mentaliti masyarakat di negara ini termasuk golongan agamawan.

“Ada sesetengah orang, dia tak tengok pun tanskrip penuh, dia hanya tengok tajuk, lalu memaki hamun dan mencera.

“Orang cakap kat media sosial saya tak hairan, tapi yang tahap agamawan, peringkat orang yang dihormati oleh masyarakat. Paling tidak, ambillah pendekatan meminta penjelasan daripada saya dulu, apa sebenarnya menteri kata?

“Itu pun kalau (mereka) hormat saya. Kalau tak hormat, memanglah, orang minta komen, belasahlah,” jelasnya.

“Akhirnya bila saya tegur kesilapan dan minta baca transkrip sepenuhnya, mana nak letak muka? Saya tak bercakap melainkan saya tahu apa yang saya cakapkan,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.