‘Saya Tersentuh Sampai Menitis Air Mata’

PUTRAJAYA: Penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Noor Kumalasari tersentuh menyedari generasi muda mengenalinya biarpun sudah hampir dua dekad meninggalkan persada seni.

Noor, 62, yang popular pada era 1970-an dan 1980-an, mengaku menitiskan air mata sebaik segmen penghargaan terhadapnya dipentaskan di depan mata di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

“Saya tersentuh sehingga menangis apabila melihat sedutan dipaparkan.

“Lagu-lagu popular saya didendangkan penyanyi generasi muda iaitu Misha Omar, Siti Sarah Raisuddin dan Ernie Zakri.

“Secara jujur, saya tidak mengharapkan apa-apa pengiktirafan, lebih-lagi saya sudah lama bersara. Namun, saya berterima kasih kepada penganjur ABPBH 31, BH dan barisan yang memilih saya.

“Saya tak sangka ada pihak yang masih mengenang hasil kerja saya sepanjang hampir 40 tahun bergelar anak seni,” katanya kepada BH Online.

Ibu kepada empat cahaya mata lelaki itu berkata, dia terharu masih ramai yang mengenalinya.

“Saya ingatkan nama saya sudah telan dek zaman, tetapi nyata masih tidak.

“Tidak dinafikan, saya sering ditegur anak muda apabila keluar berjalan-jalan. Walaupun saya berjubah dan berkaca mata, mereka tetap kenal saya.

NOOR Kumalasari bersama trofi pada malam kemuncak ABPBH 31. – NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

“Saya bertanya macam mana mereka kenal saya. Ada yang memberitahu ibu mereka meminati saya dan menonton filem lakonan. Mereka membesar dengan filem dan lagu nyanyian saya.

“Saya terima anugerah ini dengan penuh rasa syukur. Bagaimanapun, untuk saya kembali ke dunia seni, mungkin tidak.

“Pintu hati saya belum terbuka biarpun naskhah yang diberi berunsur Islamik,” katanya yang pernah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Seri Angkasa pada 1983 dan 1984.

Bintang filem Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu dan Esok Untuk Siapa itu meletakkan titik noktah pada kerjaya seni selepas berhijab pada 1998.

Bagaimanapun, anak kelahiran Singapura itu muncul seketika menerusi telefilem Pintu No 9 arahan Fadzil Teh yang mengangkat kisah arwah ibu bapa, Allahyarham Seniman Datuk S Roomai Noor dan Allahyarham Datin Umi Kalthum di Tanah Suci Makkah dan Madinah, dua tahun lalu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.