Perebutan Jawatan Timbalan Presiden PKR Sengit, Rafizi Pintas Kedudukan Azmin

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli setakat ini mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR selepas mencatat kemenangan di Kelantan, Terengganu, Pahang kelmarin dan Wilayah Persekutuan, semalam.

Mohamed Azmin pula setakat ini mengesahkan kemenangannya di Pulau Pinang dan Johor yang diadakan pada 23 September serta 1 Oktober lalu.

Selepas pengundian selesai di enam negeri, Mohamed Azmin mendapat 19,112 undi manakala Rafizi memperoleh 19,161 undi.

Dalam pemilihan PKR Cabang Wilayah Persekutuan semalam, menyaksikan Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mengenepikan Mohamed Azmin dengan kelebihan 127 undi.

Mohamed Azmin memperoleh 2,663 undi berbanding Rafizi yang mendapat 2,790 undi.

Keputusan itu menunjukkan Rafizi mengatasi Mohamed Azmin di Cabang PKR Kepong, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Labuan dan Putrajaya.

Mohamed Azmin yang dalam misi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR menang di Cabang PKR Batu, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mendapat undi paling sedikit di Cabang Titiwangsa iaitu hanya tujuh undi berbanding 83 undi diraih Rafizi.

Namun, persaingan sengit berlaku di Cabang Bandar Tun Razak apabila Mohamed Azmin memperoleh 549 undi, yang dibezakan dengan dua undi saja apabila Rafizi mendapat 547 undi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihannya, Datuk Rashid Din dalam laman web rasmi pemilihan PKR berkata, pihaknya hanya akan muktamadkan keputusan bagi Cabang PKR Wilayah Persekutuan selepas Peti Undi Ragu dibuka.

Sementara itu, Rafizi dilaporkan menang dengan majoriti 85 undi dalam pemilihan jawatan itu bagi peringkat 14 cabang PKR di Pahang, kelmarin.

Rafizi memperoleh 2,383 undi, manakala Mohamed Azmin itu memperoleh 2,298 undi.

Keputusan itu menunjukkan Rafizi menang di Cabang PKR Kuantan, Indera Mahkota, Cameron Highlands, Bera, Paya Besar, Maran, Jerantut dan Rompin manakala Mohamed Azmin menang di Cabang PKR Raub, Pekan, Kuala Krau, Lipis, Bentong dan Temerloh.

Dalam pada itu, berlaku kekecohan di Cabang Lembah Pantai semalam dipercayai akibat perebutan pengundi antara kem dalam parti itu.

Kekecohan membabitkan kejadian tolak menolak dan bertikam lidah berlaku antara beberapa ahli yang dipercayai mewakili beberapa kem dalam PKR tetapi dileraikan petugas dan polis.

Keputusan akhir pemilihan PKR bagi semua jawatan parti terutama Timbalan Presiden yang menjadi tumpuan dijangka hanya diketahui November ini selepas JPP menangguhkan pemilihan bagi Cabang PKR di tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Perlis.

Penangguhan itu dibuat berikutan berlaku masalah pada sistem pengundian dan JPP memberi jaminan pemilihan perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum 4 November ini. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.