Nahas Menora: Pemandu Lori Positif Dadah

IPOH – Pemandu lori yang terbabit dalam nahas Terowong Menora hingga mengorbankan lima nyawa, Sabtu lepas disahkan positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, berdasarkan ujian air kencing dilakukan, lelaki berusia 41 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, pemandu beralamat dari Alor Setar itu ditahan di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis akan mendapatkan perintah reman pagi ini,” katanya.

Dalam kejadian di KM255.3 Lebuhraya Utara Selatan sekitar jam 11.47 pagi itu, semua mangsa yang menaiki kereta jenis Kia Forte ditemui rentung.

Kenderaan dalam perjalanan dari Selangor ke Taiping untuk menghadiri satu aktiviti gereja itu terbakar selepas terperangkap antara sebuah lori dengan penghadang jalan.

Siasatan awal mendapati, lori muatan bijih besi terbabit dipercayai hilang kawalan dan masuk ke lorong kanan sebelum menghimpit kenderaan mangsa. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.