Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Ali berkata, sekiranya kerajaan mempunyai cadangan atau ingin membuat perubahan perkara tersebut harus dibawa kepada Raja-Raja Melayu terlebih dahulu.

Berliau berkata, di dalam perlembagaan telah jelas dinyatakan bahawa hal ehwal agama Islam tertakluk di bawah bidang kuasa sultan di setiap negeri.

“Semasa pembentukan negara, kita sudah bersetuju menggubal perlembagaan negara di mana agama di letakkan di bawah Raja-Raja Melayu.

“Oleh itu sebarang perubahan yang hendak dibuat mesti dibuat oleh Raja-Raja Melayu,

tidak boleh belakangkan baginda kerana telah termaktub dalam perlembagaan negara dan negeri,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Semalam akhbar The Star melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata, bahawa tiada lagi ketukan pintu oleh pihak bekuasa untuk menyiasat laporan khalwat dan salah laku lain yang melibatkan orang Islam.

Kenyataan tersebut mendapat respon daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan Islam tidak mengajar umatnya melaksanakan penguatkuasaan keterlaluan sehingga menceroboh kediaman dan privasi individu di tengah malam.

Bagaimanapun Mujahid menafikan laporan akhabar The Star itu yang menyifatkan kenyataannya dipetik di luar konteks.

Azmi berkata, penguatkuasaan yang ketat adalah penting untuk mencegah berlaku perkara yang di luar batasan.

“Sebagai contoh, sebuah keluarga mengetahui anak mereka bersekedudukan tetapi undang-undang tidak boleh mengambil tindakan maka mereka akan mengambil tindakan sendiri, keadaan akan menjadi lebih teruk.

“Saya tidak pandai bercakap mengenai hukum agama namun saya melihat penguatkuasaan amat penting dan perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mencegah perkara yang lebih buruk berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE