Hishammuddin Nafi Khabar Angin Bawa Keluar 30 Ahli Parlimen UMNO

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan desas-desus yang berlegar di media sosial kononnya beliau akan membawa sejumlah Ahli Parlimen keluar daripada UMNO dan menjadi Bebas.

Menerusi WhatsApp kepada UMNO-Online, beliau yang juga Ahli Parlimen Semberong bukan sahaja menyifatkan laporan itu sebagai merepek, malah tidak benar sama sekali dan berpesan kepada ahli parti supaya tidak menari mengikut rentak pihak terbabit.

Beliau percaya perkara berkenaan hanya digembar-gemburkan dalam kalangan ahli parti sendiri.

“Tiada sesiapa boleh rasuah saya dan jawatan tidak penting kepada saya dan apa yang paling utama adalah kerana parti dan bangsa,” katanya.

Desas-desus yang mengaitkan Hishammuddin akan membawa Ahli Parlimen lain untuk keluar parti dan menjadi ahli parlimen bebas menjadi viral semalam.

Malah dakwaan itu turut menyatakan Hishammuddin akan ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Setakat ini, seramai lima orang Ahli Parlimen UMNO keluar parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mereka ialah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed; Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis); Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Ketika Perhimpunan Agung UMNO akhir bulan lalu, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu akan menyaman Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti. – BH

One thought on “Hishammuddin Nafi Khabar Angin Bawa Keluar 30 Ahli Parlimen UMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.