Belasah Pasukan Conor, Khabib Bimbang Dihempuk Bapa

NEVADA – AMERIKA SYARIKAT. Juara Lightweight dunia, Khabib Nurmagomedov mengakui bakal dihempuk bapanya sebaik menjejak kaki ke kampung halamannya di Sidli, Dagestan.

Khabib, 30, berkata bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov pasti tidak gembira dengan tindakannya meluru keluar gelanggang dan menyerang pasukan Conor McGregor pada pertembungan UFC 229 di Las Vegas, semalam.

Tambahnya; “Bapa ajar saya supaya sentiasa menghormati orang lain, tapi mereka (kem McGregor) sudah melampaui batas.”

Bagi yang baru mengenali Khabib, petarung Islam ini dilatih bapanya sejak kecil dan Abdulmanap diiktiraf sebagai bapa sukan MMA di Dagestan kerana berjaya melahirkan lapan juara dunia dan Olimpik (gusti roman-greko, sambo dan judo).

Sementara itu, Khabib turut memberitahu bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menghubunginya untuk mengucapkan tahniah sebaik pertarungan UFC 229 berakhir.

“Ramai orang bercakap mengenai Conor bergambar dengan Putin dan media mengembar-gemburkan perkara itu.

“Tapi saya bangga, kerana sebentar tadi Putin menghubungi saya untuk mengucapkan tahniah,” katanya.

Khabib mempertahankan tali pinggang Lightweight miliknya selepas memaksa McGregor mengaku kalah pada pusingan keempat dengan aksi submission.

Sebelum pertarungan di Las Vegas, petarung Rusia itu berikrar untuk membelasah McGregor selepas dihina berbulan-bulan termasuk serangan bas di Brooklyn.

Pada sidang media tiga hari sebelum pertarungan, Khabib berkata dihadapan penyokong Ireland; “Alhamdulillah, Tuhan beri saya segalanya. Pada 6 Oktober nanti, saya akan belasah dia. Kita tengok nanti…Insya-ALLAH.” – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.