Anwar Mohon Batal Saman Tak Layak Bertanding

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan untuk Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan pembatalan tuntutan beliau tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini. 

Mewakili Anwar peguamnya  J Leela yang memaklumkan permohonan membatalkan saman yang difailkan Noraziah Mohd Shariff, 38, itu dibuat kerana tiada locus standi dan tidak adil.

Leela berkata demikian ketika dihubungi pemberita sebuah portal berita hari ini dalam masa yang sama turut memaklumkan permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi, esok.

Noraziah terdahulu pada 28 September memfailkan permohonan itu  lepas melalui firma guaman, Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi di sini selaku pemohon dan menamakan Anwar responden pertama dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan responden kedua.

Beliau, yang juga pengundi di Port Dickson turut memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.

Beliau turut memfailkan sijil perakuan segera supaya permohonan itu dapat didengar secepat mungkin oleh mahkamah sebelum pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadual 13 Okt ini diadakan memandangkan Anwar adalah calon.

Pemohon memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi Ahli Parlimen berikutan sabitan salah yang dimilikinya.

Selain itu beliau memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan oleh Yang Dipertuan Agong adalah terbatal memandangkan Lembaga Pengampunan yang menasihati Baginda tidak ditubuhkan selaras dengan Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.

Noraziah mengemukakan pemohonan itu dengan alasan Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000 adalah hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen.

Pemohon juga berkata, pada 16 Mei lepas, Anwar dilepaskan setelah menjalani hukuman penjara 5 tahun berhubung sabitan jenayah kes liwat yang menjadikannya hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen namun atas nasihat responden kedua, Baginda telah memberikan pengampunan kepada Anwar.

Dalam hal ini, pemohon mendakwa, Sultan Muhammad V hanya memberi pengampunan kepada Anwar namun Baginda tidak pernah membatalkan hilang kelayakan responden pertama itu seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 48(1).

Selain itu, dakwanya, responden kedua telah ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikutan ketiadaan Menteri Wilayah dan Peguam Negara pada masa mesyuarat pengampunan dijalankan.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.