Vida Serik Taja Bola Sepak, Bayar Gaji Pemain Cedera Tapi Produk Tak Laku

SHAH ALAM — Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) perlu membuat rombakan penuh jika mahu kembali memberi saingan, kata Datuk Seri Hasmiza Othman.

Bekas penasihat kehormat Kafa itu berkata langkah yang perlu diambil antaranya membuat rombakan terhadap senarai pemain yang kurang menyerlah.

“Pecat semua pemain yang berlagak bintang. Sekarang bukan masa mereka untuk bermain dengan baik kerana faktor umur dan sering berasa tidak puas hati.

“Pemain baru bermain mencipta nama tetapi mereka mencari duit. Pemain sekarang ini umpama bintang tetapi bintang yang berdebu.

“Saya menderita bayar gaji. Pemain cedera bertahun dapat gaji percuma. Sedaplah, banyak pula tu. Sampai setahun cedera,” kata usahawan kosmetik itu kepada ProjekMMO.

Bibi Ramjani Ilias Khan dipilih sebagai presiden Kafa apabila menewaskan Datuk Muhammad Nasir Hamzah dalam satu pemilihan pertengahan bulan lalu.

Usahawan itu mencipta sejarah apabila dipilih sebagai wanita pertama menerajui Kafa sejak ditubuhkan 1946.

Kelantan kini berdepan kemungkinan disingkirkan ke Liga Perdana selepas berada di tangga kedua corot Liga Super, mendahului Pulau Pinang.

Selepas menempuh 21 perlawanan, Kelantan menang enam, seri (4) dan kalah (11) dengan mengumpul 19 mata.

Hasmiza, yang mesra disapa Vida, berkata rombakan perlu dilakukan kerana presiden baharu sahaja tidak cukup untuk memulihkan pasukan itu.

“Bukan sebab dia atau sesiapa tetapi Kelantan perlu buat rombakan besar-besaran. Saya rasa beri peluang dua tahun kepada pemain baru.

“Tahun pertama tengok prestasi mereka. Tahun kedua biar mereka menjadi bintang. Saya sudah serik dengan bola sepak kerana kurang sokongan daripada pembelian produk.

“Jadi saya harap video muzik saya memberi impak produk saya diterima. Ini juga satu pelaburan besar,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.