The Red Antz Minat Mario Gomez

Pengurus pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mendedahkan Mario Gomez antara salah seorang calon dalam senarai jurulatih baharu pasukan berstatus kelab itu.

Nama bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) itu disebut-sebut bakal menggantikan E. Elavarasan yang direhatkan sejak Julai lalu dan Gomez tanpa berselindung memberikan isyarat mahu kembali melatih mana-mana kelab di Liga Malaysia (Liga M) musim depan, lapor Kosmo.

Mengulas spekulasi itu, Mahfizul mengesahkan Gomez sememangnya berada dalam radar PKNS FC, tetapi keputusan untuk melantik jurulatih baharu masih dalam proses perbincangan pihak pengurusan.

Pun begitu, Mahfizul enggan mendedahkan senarai calon itu, tetapi pada masa sama percaya pihak pengurusan akan melakukan keputusan terbaik melantik pengendali baharu The Red Antz itu nanti.

“Memang benar, Gomez antara salah seorang jurulatih yang berada dalam senarai untuk membimbing pasukan ini pada musim depan.

“Mengenai siapakah jurulatih baharu PKNS FC, ia masih dalam perbincangan kerana ada beberapa calon selain Gomez yang kami perlu nilai selaras dengan projek, visi dan misi kelab,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Gomez yang tidak membim­bing mana-mana kelab sejak meninggalkan JDT pada Mac lalu, telah mendapat pelbagai tawaran dari kelab di Thailand dan Indonesia, tetapi ia masih belum cukup untuk meyakinkan pengendali kelahiran Argentina itu menyertai mereka.

Ini kerana bekas jurulatih South China tersebut mendedahkan beliau masih berminat untuk membuat penampilan di Malaysia kerana Gomez menyifatkan Liga Super umpama Liga Perdana England (EPL) versi Asia Tenggara.

PKNS FC kini menduduki tangga ketujuh Liga Super dengan 25 mata sepanjang 21 perlawanan dan bakal menutup kempen Liga M dengan menentang Felda United hujung bulan ini.

Mengulas persiapan pramusim PKNS FC tahun depan, Mahfizul menjelaskan keputusan destinasi sama ada mereka menjalani latihan di dalam atau luar negara bergantung kepada jurulatih baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.