Polis Australia Rampas Cecair Meth Terbesar

SYDNEY – Australia merampas sejumlah bahan kimia yang mencukupi untuk menghasilkan dadah methamphetamine (meth) tulen atau lebih dikenali sebagai ‘ais’ bernilai sekitar A$3.6 bilion (RM11.8 bilion), kata pihak berkuasa semalam.

Menurut AFP, cecair efedrina seberat 3.9 tan itu disembunyikan di dalam botol-botol teh hijau yang dihantar dari Thailand sekali gus menjadi rampasan bahan terlarang terbesar dalam sejarah Australia, lapor Kosmo.

Australia merupakan pengguna kristal ‘ais’ paling tinggi di dunia, malah negara itu menjadi tarikan kepada penyeludup dadah kerana harga dadah itu yang melambung tinggi.

Menteri Keadilan, Michael Keenan berkata, meth seberat 350 kilogram (kg) yang disembunyikan di dalam baldi-baldi berisi plaster dari Thailand dipintas dalam dua operasi pihak polis dan pasukan pengawal sempadan sejak tiga minggu lalu.

“Siasatan mengenainya bermula dengan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa Thailand bahawa terdapat penyeludupan dadah besar-besaran ke Sydney,” kata Keenan.

Dua individu ditahan berhubung rampasan cecair efedrina itu yang dilaporkan mencukupi untuk menghasilkan 3.6 tan ‘ais’. Bagaimanapun, kewarganegaraan suspek belum didedahkan.

Penggunaan meth di Australia meningkat tiga kali ganda sejak lima tahun lalu.

Suruhanjaya Jenayah Australia melaporkan pada tahun 2015 bahawa satu gram ‘ais’ berharga AS$80 (RM338) di pasaran gelap China, namun kira-kira 270,000 penagih di Australia perlu membayar AS$500 (RM2,117) bagi amaun sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.