Kekasih Tak Kawal Kerjaya Saya – Sufi Rashid

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufi Rashid, menafikan kebanyakan keputusan mengenai perjalanan kerjaya seninya dikawal oleh teman wanita beliau.

Artis dari Kota Singa itu menjelaskan, teman wanitanya sering kali memberikan pendapat berhubung pakaian beliau ketika membuat persembahan pentas, namun tidak sewenang-wenang mencampuri urusan kerjayanya.

“Dia seorang gadis yang baik dan tidak masuk campur dalam urusan kerjaya saya. Cuma sekadar memberikan perspektif mengenai gaya pemakaian.

“Saya tidak tahu bagaimana boleh timbul isu teman wanita mengawal perjalanan kerjaya pula. Malah, dia juga tidak mempunyai latar belakang dalam bidang nyanyian. Jadi, rata-rata keputusan diserahkan kepada saya.

“Kami juga baru saja berkawan sekitar setahun lebih dan belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Masih banyak yang perlu saya capai, terutama dalam bidang nyanyian,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi berusia 26 tahun itu mengulas mengenai perkara berkenaan ketika ditemui pada majlis sidang media sebaik saja berakhir konsert Akademi Fantasia (AF) Megastar, baru-baru ini.

Sufi, yang muncul sebagai pemenang Star of the Week selama dua minggu berturut-turut hasil undian peminat, tersingkir daripada pertandingan apabila mendapat markah terendah berbanding lapan bintang yang masih bersaing, iaitu 18.8 peratus.

Dalam perkembangan terkini, Sufi bakal tampil dengan single berjudul Aku Sendiri ciptaan bakat baharu, Haqiem Rusli.

“Lagu ini sangat istimewa kerana ia dicipta mengikut cita rasa saya, selain menjadi sambungan kepada lagu Aku Sanggup,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.