Ditikam Lelaki Mabuk Selepas Makan Lewat Malam

ISKANDAR PUTERI – Kegembiraan empat sekeluarga menikmati makan malam bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka cedera akibat ditikam oleh seorang lelaki Myanmar yang dipercayai mabuk dalam satu kejadian di Jalan Nusa Bestari, Taman Nusa Bestari di sini awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an mengalami kecederaan pada bahu kanan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk mendapatkan rawatan, lapor Kosmo.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, polis yang menerima panggilan bergegas ke lokasi kejadian mendapati suspek berusia lingkungan 20-an terbaring dengan berlumuran darah pada bahagian muka.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai minum di sebuah restoran berhampiran sebelum mabuk dan tidak dapat mengawal diri telah bertindak menendang kenderaan.

“Pemilik kenderaan iaitu mangsa cuba menenangkan suspek namun suspek bertindak menikam bahu mangsa sebelum suspek dipukul orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Hashim berkata, suspek dikejarkan ke hospital sama dan polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada suspek.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata merbahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.