Amerika Mahu Sekat Senjata Api

WASHINGTON – Wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) meningkatkan usaha kelmarin untuk mengharam­kan aksesori yang digunakan oleh pe­nembak Las Vegas supaya senjata apinya berupaya me­nembak lebih cepat.

Usaha dibuat ketika Persatuan Raifal Kebangsaan (NRA) memecah tradisi dengan menggesa pihak berkuasa persekutuan menyemak semula peraturan berhubung modifikasi itu, lapor Kosmo.

Pelobi senjata api itu meminta Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Letupan (ATF) merombak undang-undang berkaitan peralatan tersebut yang dinamakan bump stock.

“Aksesori ini yang direka untuk membolehkan raifal separa automatik berfungsi seperti mesingan memerlukan peraturan tambahan,” kata NRA.

Kenyataan itu memba­yangkan pendirian beralah NRA yang sebelum ini membantah keras sebarang usaha untuk menge­tatkan undang-undang pemilikan senjata api ataupun mengehadkan modifikasinya.

White House turut senada dengan pendirian NRA dan menggesa perdebatan di Kongres mengenai bump stock.

“Jelas sekali, larangan ini akan dipertimbangkan,” kata Speaker Dewan Perwakilan, Paul Ryan.

Wakil rakyat daripada Parti Demokrat pernah mengusulkan rang undang-undang pengharaman bump stock dan pera­latan serupa lain tetapi dibantah oleh Parti Republikan dan ATF.

“Mengetatkan undang-undang senjata api melibatkan rombakan perlembagaan,” kata seorang wakil rakyat AS, Senator John Kennedy, merujuk kepada peruntukan dalam Perlembagaan AS yang menjamin hak rakyat memiliki senjata api.

Perkembangan itu berlaku ketika polis mencari lebih banyak petunjuk bagi mengenal pasti motif Stephen Paddock mem­­bunuh 58 orang dan mencederakan hampir 500 yang lain di sebuah konsert muzik Country di Las Vegas Strip, Nevada pada malam Ahad lepas.

Polis turut mendapati Paddock me­ninjau beberapa bandar raya utama lain di AS untuk melakukan serangan.

Pihak pengurusan Hotel Blackstone di Chicago berkata, seorang lelaki memiliki nama sama dengan penyerang menempah sebuah bilik di hotel itu pada Ogos lalu tetapi tidak hadir menginap.

Tarikh tempahan adalah pada hari ratusan ribu orang menghadiri konsert Lollapalooza termasuk anak perempuan bekas Pre­siden AS, Malia Obama.

Paddock juga melakukan carian internet di Boston sekali gus membayangkan dia mungkin merancang lebih banyak serangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.