Sebut InshaAllah, Lelaki Diarah Keluar Pesawat

NEW YORK  – Seorang penumpang lelaki Islam di Amerika Syarikat (AS) diarah keluar dari pesawat Southwest Airlines kerana mengucapkan insya-Allah semasa perbualannya menerusi te­lefon bimbit.

 

Portal Presstv meaporkan, Khairuldeen Makhzoomi­, 26, yang merupakan graduan Universiti Berkeley berada dalam pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles untuk ke Oakland semasa seorang lagi penumpang terdengar dia bercakap menggunakan bahasa Arab.

 

Ketika itu, Khairuldeen berada di tempat duduknya dan sedang berbual melalui telefon bimbit dengan bapa saudaranya di Baghdad, Iraq.

 

Dia mengakhiri perbualan itu dengan mengucapkan insya-Allah dan menyedari seorang wanita merenungnya namun menganggap penumpang itu berasa tidak senang kerana dia bercakap kuat.

 

Namun dalam tempoh dua minit, seorang lelaki tiba bersama seorang pegawai polis dan mengarahkannya meninggalkan pesawat itu.

 

Seorang ejen keselamatan me­ngiringi Khairuldeen keluar dan bertanya sebab dia bercakap menggunakan bahasa Arab dalam ‘situasi politik sekarang’.

 

“Kamu perlu jujur dengan kami tentang apa yang kamu katakan tadi,’’ kata ejen berkenaan.

 

Menurut Khairuldeen kepada The Independent, beberapa anjing turut dibawa untuk memeriksa tubuh dan bagasinya selain dompetnya dirampas.

 

“AS adalah negara bebas, penduduknya menghormati pera­turan dan undang-undang. Bagai­mana mereka boleh memalukan o­rang lain seperti ini. Ini benar-benar memeranjatkan,” katanya.

 

Syarikat penerbangan itu juga tidak membenarkan Khairuldeen menaiki semula pesawat berke­naan menyebabkan dia terpaksa menempah tiket dengan Delta Air Lines.

 

Jurucakap Southwest Airlines, Brandy King dalam satu kenya­taannya kepada The Indepen­dent berkata, Khairuldeen disiasat selepas dia membuat kenyataan yang berpotensi untuk mengancam keselamatan.

 

Rabu lalu, Majlis Hubungan Islam Amerika (CAIR) memfailkan aduan kepada pegawai pengangkutan persekutuan menuntut siasatan penuh terhadap insiden itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.