PM Australia Anggap Hukuman Ke Atas Warganya Ringan

SYDNEY  – Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull menyifatkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Malaysia terhadap sembilan lelaki warga Australia yang memakai seluar renang bercorak Jalur Gemilang ketika Grand Prix (GP) Formula One (F1) sebagai ringan.

 

Katanya, hukuman amaran keras yang dijatuhkan mahkamah itu hanyalah suatu peringatan kepada mereka.

 

“Pihak berkuasa Malaysia bersikap lembut terhadap mereka (tertuduh) dan mereka telah menyatakan kekesalan terhadap perbuatan masing-masing tetapi mereka perlu memikirkan semula secara serius perbuatan itu,’’ katanya semasa ditemubual oleh sebuah stesen radio di Adelaide, hari ini.

 

Beliau turut mengingatkan rakyat Australia agar menghormati undang-undang semasa berkunjung ke luar negara.

 

“Sama seperti apa yang kita harap daripada pelancong dari luar negara untuk menghormati dan mematuhi undang-undang Australia semasa berkunjung ke negara kita,’’ katanya.

 

Dalam pada itu nasib penasihat kanan Menteri Pertahanan Australia, Jack Robert Walker yang merupakan salah seorang tertuduh dalam kes berkenaan masih menjadi tanda tanya.

 

Kata Turnbull, beliau akan berbincang dengan Menteri Luar, Christopher Pyne berhubung masa depan Walker sekembalinya beliau daripada lawatan ke luar negara.

 

Ketika ditanya sama ada Walker masih berhak memegang jawatan tersebut Turnbull berkata, Walker perlu menilai kembali dirinya dan menimbangkan masa depannya dengan teliti.

 

Turnbull berkata, sebelum ini beliau dan Menteri Luar, Julie Bishop amat berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan umum kerana mahu membantu mereka yang terlibat pulang ke Australia.

 

Dalam pada itu lapan lelaki berkenaan yang kini dikenali sebagai `Budgie Nine’ telah selamat tiba di lapangan terbang Sydney manakala Walker masih berada di Kuala Lumpur.

 

Salah seorang lelaki itu, Nicholas Williamm Daymand Kelly mengingatkan rakyat Australia agar berhati-hati dengan perbezaan budaya semasa melancong ke luar negara.

 

“Kami amat gembira berada di tanah air sendiri dan kami menggesa rakyat Australia berhati-hati dengan sensitiviti yang wujud di negara lain,’’ katanya semasa sidang akhbar ringkas di lapangan terbang tersebut.

 

Mahkamah Sesyen Sepang semalam memberi amaran keras kepada sembilan lelaki itu supaya tidak mengulangi kesilapan berkenaan pada masa hadapan.

 

Hakim Mahkamah Sesyen, Harith Sham Mohamed Yasin berkata, tindakan tersebut telah menyebabkan perasaan seluruh rakyat Malaysia yang amat menghormati Jalur Gemilang selaku bendera rasmi negara ini terguris.

 

Selain Walker dan Kelly, tertuduh lain ialah Timothy William Faschi Yates, Edward Timothy Leaney, Thomas James Witworths, Thomas Craig Laslett, Adam Patrick Pasfield, James Daniel Paver dan Brendan Stobs.

 

Kesemua lelaki yang berusia 25 hingga 29 tahun itu dengan antaranya bertugas sebagai doktor dan ahli akademik bergelar profesor madya didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 5 petang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pada 2 Oktober lalu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.