Pegawai, Anggota Obes Dipantau – PDRM

GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil data untuk memantau pegawai dan anggotanya yang mengalami masalah obesiti mulai tahun depan bagi mencapai sasaran misi ‘Rapi dan Cergas’ menjelang 2018 kata Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

 

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti 10,000 pegawai serta anggota yang berdepan masalah berat badan dan berharap menjelang 2018, sebanyak 90 peratus daripada pasukan itu akan cergas.

 

“Kami mahu pegawai serta anggota yang aktif dan jika mereka gagal mencapai sasaran yang diberikan, ia akan memberi kesan kepada karier mereka dalam pasukan,” katanya petik Bernama.

 

Beliau juga menggesa semua pegawai dan anggota untuk mengurangkan berat badan mulai sekarang atau mencapai berat badan yang sesuai bagi memenuhi sasaran yang diberikan.

 

Mulai 1 Jan 2018, PDRM akan menguatkuasakan syarat kepada pegawai dan anggota mereka untuk lulus ujian kecergasan sebelum dinaikkan pangkat atau disahkan jawatan.

 

Zulkifli berkata semua pegawai akan menjalani Penilaian Kelayakan Keupayaan Fizikal yang telah diguna pakai oleh pasukan polis seluruh dunia.

 

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata daripada 130,000 pegawai dan anggota polis di seluruh negara, kurang daripada satu peratus berdepan masalah disiplin.

 

“Kami mengakui ada peratusan kecil yang mempunyai masalah disiplin dan tidak bertolak ansur dalam soal ini. Kami telus dalam proses ini,” katanya.

 

Menurutnya mulai 2015, pengurusan PDRM mempunyai dasar pemisah untuk mereka yang gagal menjalankan tugas seperti diharapkan.

 

“Kami sudah mengenal pasti kira-kira 200 pegawai serta anggota dan memberi mereka peluang meningkatkan diri. Jika masih gagal mencapai tahap yang diharapkan, mereka akan bersara lebih awal,” katanya.

 
Terdahulu, kira-kira 3,000 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai unit dan negeri berkumpul di Taman Botanikal, di sini untuk sambutan HSN.

 

Ini adalah kali pertama PDRM menganjurkan aktiviti itu di luar Kuala Lumpur dan orang ramai berpeluang melihat aset pasukan seperti kuda, helikopter dan motosikal berkuasa tinggi yang digunakan polis bagi membanteras jenayah. BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.