Isu Air : BN Selangor Kemuka Usul Khas Desak Kerajaan Negeri

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Selangor akan mengemukakan usul khas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendesak kerajaan negeri supaya menyelesaikan isu air di negeri itu, secepat mungkin kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abd Aziz.

 

 

Beliau berkata, usul tersebut juga bagi membincangkan permasalahan pencemaran alam sekitar di Selangor.

 

 

“Usul ini dah siap, 12 ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) BN akan perjuangkan nasib sebahagian besar penduduk di Selangor.

 

 

“Usul mendesak kerajaan Selangor mengambil langkah proaktif bagi mengekang pencemaran alam sekitar dalam mesyuarat, di bawah Peraturan 26 Usul Khas… saya harap jangan tolak usul ini,” katanya, petik Bernama.

 

 

Sementara itu, ADUN Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan pula berharap perkara itu akan mendapat perhatian Speaker DUN.

 

 

“Ini kali pertama kita buat usul khas isu air, kita harap Speaker (DUN Selangor) usah tolak, bagi kita sama-sama bincang dalam dewan,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, penduduk sekitar Semenyih melahirkan kebimbangan berikutan krisis air yang kini semakin meruncing tanpa sebarang usaha untuk mengatasinya oleh pihak kerajaan negeri.

 

 

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 16 Hulu Langat Datuk Abdul Rahman Jaafar berkata kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengatasi krisis air tersebut dan perlu turun padang untuk membantu rakyat.

 

 

“Selesaikan masalah air ini segera dan jangan hanya salahkan kerajaan Pusat dalam isu ini,” katanya.

 

 

Sementara itu, seorang wakil penduduk M. Kumaravelu berkata krisis air itu turut menjejaskan persiapan mereka menyambut Deepavali yang bakal tiba, dan berharap krisis yang sudah berlarutan selama 16 hari itu segera diselesaikan.

 

 

Beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak 22 Sept lepas ekoran penutupan Loji Rawatan Air Semenyih akibat pencemaran sungai mulai 22 hingga 24 Sept.

 

 

Dua hari lepas, loji itu ditutup lagi berikutan masalah yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.