‘Israel Hanya Tunjuk Lagak! Modus Operandi Sama Seperti Mavi Marmara, Rachel Corrie’

KUALA LUMPUR – “Israel hanya tunjuk lagak, mereka nak tunjuk mereka kuat,”kata Exco Negeri Perak, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria berhubung modus operandi Israel yang menahan kapal misi ‘Women’s Boat to Gaza’, beberapa hari lalu.

 

Nizar berkata, tentera laut rejim Yahudi akan menggunakan modus operandi yang sama untuk memintas dan menyerang kapal bantuan yang mendekati kawasan perairan itu (Mesir dan Gaza).

 

Beliau turut bersimpati dengan wakil tunggal Malaysia dalam Dr Fauziah Mohd Hasan yang berpengalaman dipenjarakan oleh pihak Zionis di sebuah pusat tahanan di Israel.

 

Dalam pada itu, Nizar turut menceritakan pengalaman yang sama dirasainya ketika menyertai kapal MV Spirit of Rachel Corrie misi bantuan pada 2011 yang lalu.

 

“Biarpun kita masih belum sampai di perairan tersebut, namun mereka tetap berpendirian bahawa tempat itu adalah kawasan penaklukan mereka. Disebabkan rasa kawasan itu mereka punya, maka mereka menggunakannya untuk menahan mana-mana kapal sahaja yang mencerobohi kawasan itu,”katanya yang dihubungi SuaraTV, kelmarin.

 

Menyedari Malaysia dan beberapa negara lain juga tidak mempunyai hubungan baik dengan Israel, maka mereka (rejim Yahudi) mengambil keputusan untuk terus menunjukkan ‘lagak’ mereka.

 

“Semasa misi kami pada 2011 lalu (Rachel Corrie) terdapat tujuh rakyat Malaysia, Ireland (2), India (2) dan seorang warga Kanada di atas kapal berkenaan yang merupakan aktivis anti-perang dan wartawan.

 

“Biarpun tiada sebarang kecederaan, namun kami ditahan, disoal dan diminta menandatangani sebuah surat yang bertulisan (Hebrew) dan dipenjarakan selama 3 hari,”jelasnya.

 

Katanya, ini jelas menunjukkan modus operandi yang sama digunakan oleh rejim Yahudi ke atas kapal misi ‘Women’s Boat to Gaza’.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, susulan daripada kejadian tersebut, PBB harus mengambil tindakan diatas perbuatan Israel supaya mereka tidak lagi menunjuk lagak di negara yang mereka ‘tumpang’.

 

“Dunia perlu melihat beberapa siri tangkapan ini yang tidak mengikut undang-undang. Mereka (Israel) tiada hak untuk menyekat kami yang tidak membawa sebarang senjata dan semata-mata untuk menghantar bantuan kepada yang mereka memerlukan.

 

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel dan berharap PBB akan mengambil tindakan terhadap kekejaman yang dilakukan mereka ke atas negara Islam,”katanya yang turut berbangga kerana Malaysia tetap menghantar wakil ke Gaza.

 

Terdahulu, Dr Fauziah berkongsi kisahnya di hadapan ratusan penyokong dan wakil media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau mengakui perasaan takut tetap ada apabila ditempatkan di dalam sel yang kecil kerana enggan untuk menandatangani sebuah dokumen berkaitan penghantaran pulang (deportation order).

 

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Bangkok menaiki penerbangan Tiger Air TG417 kira kira 7.47 malam, tadi.

 

Pada tahun 2010, dua belas rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara – kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

 

Mereka adalah sebahagian daripada misi 11 anggota yang dinamakan Lifeline4Gaza , yang mengambil bahagian dalam ‘Flotila Kebebasan’ bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.

 

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007. -SuaraTV

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.