Filipina – AS Gantung Kerjasama Rondaan Maritim

MANILA  – Filipina hari ini secara rasmi menggantung rondaan bersama di perairan Laut China Selatan dengan Amerika Syarikat (AS) selepas mendapat arahan daripada Presiden, Rodrigo Duterte kata Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana.

 

AFP melaporkan, Lorenzana berkata, Washington sudah dimaklumkan tentang perkembangan terbaharu itu.

 

“Rondaan itu digantung buat masa ini dan keputusan mengenainya telah disampaikan kepada Komander Pusat Pemerintahan AS di Pasifik semasa mesyuarat pertahanan di Hawaii, awal bulan ini,” katanya.

 

Bagaimanapun, Lorenzana membayangkan beliau belum pasti tentang rancangan Duterte.

 

“Rondaan itu tidak lagi diadakan sehingga kami mendapat penjelasan daripada Presiden Duterte,” katanya.

 

Kedua-dua negara itu memulakan rondaan bersama di Laut China Selatan sejak pentadbiran Benigno Aquino III yang menyaksikan peningkatan jumlah tentera AS di rantau itu bagi mengimbangi usaha Beijing untuk menguasai kawasan perairan ber­kenaan.

 

China menuntut hampir keseluruhan perairan Laut China Selatan termasuk yang terlalu hampir de­ngan Filipina dan negara Asia Tenggara lain sehingga membina beberapa pulau buatan yang mampu menempatkan pangkalan tentera.

 

Duterte yang memulakan penggal enam tahun pemerintahannya pada 30 Jun lalu tidak menunggu lama untuk memulihkan semula hubungan dengan China.

 

“Saya sudah hilang rasa hormat kepada AS,” kata Duterte, Selasa lalu.

 

Beliau pada masa sama mengancam untuk memutuskan sepenuhnya hubungan Manila-Washington.

 

Lorenzana terdahulu ber­kata, tentera Filipina masih mampu mengekalkan ke­langsungan angkatan tersebut tanpa bantuan AS yang dijangka menarik balik so­kongan negara berkenaan selama ini.

 

Katanya, nilai bantuan ketenteraan Washington kepada Manila tidak begitu banyak dan tentera akan meminta Kongres mengatasi kekurangan antara AS$50 juta (RM207 juta) hingga AS$100 juta (RM414 juta) dalam bentuk bantuan oleh AS.

 

“Kami boleh hidup tanpa bantuan itu,” kata Lo­renzana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.