Dakwaan Negara Alami Kemerosotan Ekonomi Satu Fitnah – Najib

KUALA LUMPUR – Dakwaan yang kononnya negara akan mengalami kemerosotan ekonomi disebabkan faktor politik adalah satu fitnah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

 

Beliau berkata, orang ramai tidak terpedaya dengan fitnah tersebut kerana kerajaan yang memerintah adalah kerajaan yang berjaya mempertahankan pertumbuhan ekonomi negara.

 

“Baru-baru ini tersebar melalui laman sosial dan aplikasi WhatsApp khabar angin mendakwa kononnya negara akan bankrap pada bulan September tahun ini.

 

 

“Ramai pula yang mempercayainya,” kata Datuk Seri Najib menerusi catatan terbaru di laman blog rasminya www.najibrazak.com.

 

 

Mengambil contoh krisis ekonomi yang pernah melanda negara pada 1998 dan 2008, Najib berkata ekonomi negara bahkan ekonomi dunia mempunyai kitaran naik dan turunnya.

 

 

“Pada 1998, kita mengalami krisis kewangan yang sangat dahsyat, di mana pertumbuhan ekonomi negara di tahap negatif, banyak perniagaan gulung tikar, ringgit jatuh mendadak dan rakyat hilang kerja.

 

 

“…10 tahun kemudian, dunia kembali diasak krisis ekonomi yang juga telah mengakibatkan ekonomi negara menyusut. Sebagai Menteri Kewangan ketika itu, saya telah mengambil langkah proaktif dalam merangka program perangsang ekonomi,” katanya.

 

 

Datuk Seri Najib berkata pada tahun lalu juga, negara turut melalui satu lagi cabaran ekonomi apabila hasil pendapatan negara merosot lebih RM30 bilion akibat kejatuhan harga minyak.

 

“Hakikatnya, ekonomi negara tetap berkembang pada kadar lebih empat peratus pada separuh pertama tahun ini, dan tidak pula tersungkur ke tahap negatif seperti tahun 1998,” kata Datuk Seri Najib.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.