Video: Anak Angkat Mangsa Letupan Bom Motosikal Ditahan Reman

Gua Musang – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes letupan motosikal sehingga mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kampung Pulai di sini semalam, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

 

Perintah reman terhadap suspek berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

 

Lelaki itu yang memakai pakaian lokap dan bergari itu diiringi polis tiba di perkarangan Mahkamah Gua Musang pada pukul 8.30 pagi.

 

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Cha Mok Liong, 72, dan isterinya, Fong Ah Fong, 72, maut dalam keadaan mengerikan apabila badan mereka berkecai akibat letupan bom buatan sendiri semasa menunggang motosikal menuju ke Kampung Pulak di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Pulai.

 

Ekoran daripada itu, pihak polis menahan seorang suspek yang juga anak angkat mangsa di rumahnya di Kampung Batu Papan di sini kira-kira sejam kemudian.

 

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan awal terhadap anak angkat mangsa itu mendapati bom berkenaan telah dibeli di negara jiran dengan harga RM300.

 

Menurutnya bom yang dibeli dari Thailand dipercayai telah digunakan untuk membunuh pasangan suami isteri itu.

 

“Daripada hasil siasatan awal juga, kita mendapati suspek berusia 27 tahun itu telah memasang bom tersebut di motosikal berkenaan sejak tiga hari lalu (sebelum kejadian).

 

“Jenis bom bagaimanapun masih sedang dikenal pasti oleh Unit Pemusnah Bom di Bukit Aman,” katanya di sini hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.