Projek Perintis Transformasi PLKN Dilaksanakan 17 Oktober

KUALA LUMPUR – Projek Perintis Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berwajah baharu akan dilaksanakan pada 17 Oktober ini.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, projek perintis selama dua bulan itu membabitkan seramai 410 pelatih akan diadakan di Kem Princess Haliza, Sepang.

 

“Daripada jumlah itu, seramai 101 pelatih menyatakan persetujuan untuk menyertainya setelah menerima surat tawaran Jabatan Latihan Khidmat Negara (PLKN), manakala 309 lagi menawarkan diri secara sukarela,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Koordinasi Transformasi PLKN di sini, Khamis.

 

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah JLKN, Datuk Mohamed Asri Yusof.

 

Menurut Hishammuddin, projek perintis tersebut akan menguji keberkesanan Fasa 1 iaitu Model Pembelajaran Bersepadu dan Fasa 2; Latihan Kemahiran dalam program tersebut.

 

“Fasa 1 melibatkan lima modul utama iaitu -Fit4Life, Tech & Talk, Malaysiaku, Be Safe &  Be Alert, iUpgrade dan tiga sub modul iaitu kerohanian, kesukarelawan dan MyFuture,” katanya.

 

“Bagi Fasa 2 pula, pelatih yang sudah menamatkan latihan Fasa 1 akan ditempatkan di institusi-institusi latihan kemahiran yang dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN),” katanya.

 

Jelas Hishammuddin, seramai 30 jurulatih akan ditugaskan untuk memberi latihan menggunakan modul baharu dalam projek perintis ini.

 

“Pada masa sama, sesi latihan untuk pelatih turut diadakan serentak bersama projek perintis ini bagi memastikan sesi ‘knowledge transfer’ daripada syarikat penyedia modul dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.