Mayat Kanak-Kanak Orang Asli Dikenal Pasti Waris

GUA MUSANG – Mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam keadaan reput di Sungai Perias kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi awal malam tadi telah dikenal pasti.

 

Mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Sasa Sobri, 8, salah seorang daripada tujuh murid Orang Asli yang dilaporkan hilang dari asrama SK Tohoi, 23 Ogos lalu melalui proses pengecaman.

 

Proses pengecaman dilakukan sendiri oleh bapanya, Sobri Latif di bilik mayat Hospital Gua Musang, hari ini. Bagaimanapun ia masih belum dapat disahkan secara rasmi sehingga selesai proses ujian DNA.

 

Suasana hiba menyelubungi perkarangan bilik mayat hospital berkenaan selepas Sobri terpaksa ditenangkan oleh anggota keluarga terdekat sebaik sahaja selesai membuat pengecaman.

 

Sementara itu, Ketua Balai Polis Gua Musang, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, walaupun pengecaman sudah dibuat oleh bapa mangsa namun pengesahan masih belum dapat dibuat sehingga mendapat keputusan DNA.

 

“Kita akan tunggu hasil DNA daripada pihak hospital, jika keputusan berkenaan sama dengan DNA bapa mangsa, kita akan sahkan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kerana tiada sebarang pengenalan atau tanda pada badan mangsa.

 

Katanya, beberapa sifat pada badan mangsa sudah mula terjejas berikutan terlalu lama berada dalam air.

 

23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli dari SK Tohoi dilaporkan hilang dari asrama sekolah mereka di Pos Tohoi Gua Musang.

 

Tujuh mangsa yang hilang termasuk seorang kanak-kanak lelaki ialah Mirsudiar Aluj, 11, Norieen, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina Daud 7.

 

Kanak-kanak ini dipercayai melarikan diri ke hutan berhampiran sekolah mereka selepas guru memberikan amaran akan dihukum kerana berenang di sungai berdekatan tanpa kebenaran. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.