Kerajaan Ambil Berat Titah Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dilakukan secara adil dan terbuka.

 

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, jika ada pihak yang didapati bersalah, tindakan undang-undang akan diambil selaras dengan sistem perundangan di negara ini.

 

“Segala siasatan terhadap mana-mana pihak sekalipun harus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, malah desakan untuk mempercepat atau  melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak patut berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Dalam kenyataan itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menjunjung kasih dan mengambil maklum kenyataan ‘pre council’ Majlis Raja-raja, yang sekali gus menunjukkan bahawa prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia berpisah tiada.

 

Majlis Raja-raja yang mengadakan mesyuarat ‘pre council’ pada Selasa lepas telah mengeluarkan kenyataan pada hari sama mahukan kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak terlibat.

 

Ahmad Zahid berkata, segala titah Majlis Raja-raja adalah dinilai baik dan kerajaan telahpun mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani isu yang  dititahkan, dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang.

 

“Pihak kerajaan sentiasa mengambil berat dan menghormati titah-titah Majlis Raja-raja. Oleh itu, kestabilan ekonomi negara, pemulihan nilai matawang ringgit,  keharmonian antara kaum dan pengurangan kos beban hidup rakyat menjadi fokus untuk kerajaan.

 

“Segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan isu-isu ini dapat diselesaikan pada masa terdekat,” katanya.

 

Timbalan Perdana Menteri berkata, umum sedia maklum bahawa pihak kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang bagi syarikat 1MDB dan pelan itu telah disambut baik oleh pelbagai pihak pelabur dari dalam dan luar negara.

 

“Pihak kerajaan akan membentangkan pada masa terdekat segala transaksi pengurangan hutang 1MDB melalui pelaburan kepada aset syarikat tersebut,” katanya.

 

Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited untuk mendukung sistem pemisahan kuasa termasuk peruntukan berkenaan kuasa-kuasa yang tersurat dan tersirat Majlis Raja-Raja.

 

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Ketua Pentadbiran Kerajaan dan anggota Kabinet yang lain mendukung sepenuhnya dan menghormati sistem Raja Berperlembagaan dan juga konsep pemisahan kuasa antara organ-organ kerajaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Beliau berharap tidak ada pihak yang menangguk di air yang keruh dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah pihak kerajaan tidak berbuat sebarang usaha untuk mendepani semua isu yang dipolemikkan.

 

“Berilah kesempatan dan ruang secukupnya kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan semua permasalahan dengan sebaik mungkin,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.