Jerebu: JAKIM Saran Anjur Solat Hajat

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan semua masjid dan surau seluruh negara mengadakan solat Hajat bagi mendoakan masalah jerebu yang melanda negara tidak berpanjangan.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan hari ini menyarankan pelaksanaan solat Hajat itu diadakan selepas solat Jumaat, esok.

 

“Jakim mengambil inisiatif melalui Masjid-masjid utama Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan solat Hajat yang akan diadakan pada 9 Oktober, selepas solat Jumaat,” katanya.

 

Beliau turut meminta kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) di seluruh negara turut sama mengadakan Solat Hajat pada tarikh dan masa yang dinyatakan di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan agensi masing-masing.

 

Othman juga menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menjaga kesihatan, mengehadkan aktiviti di luar rumah dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup hidung semasa berada di kawasan terbuka.

 

“Marilah kita semua terus berdoa agar negara Malaysia sentiasa kekal aman, makmur dan sejahtera,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.